Tuesday, July 30, 2024

‘Siapa DAP dalam kerajaan sehingga boleh langgar pekeliling KPM?’

harakahdaily.com
July 30, 2024
KUALA LUMPUR:“Kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) hari ini dilihat lebih lunak kepada DAP berbanding dengan mempertahankan hak dan isu sensitif yang mengguris hati lebih ramai rakyat Malaysia.”

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, DAP mahu semua perancangannya mengawal negara ini mengikut ‘tekak’ mereka mesti dituruti walaupun sehingga melanggar undang-undang negara.

“DAP berani mendesak apa-apa yang sudah termaktub diubah mengikut perancangan licik mereka. Pemimpin Melayu kendur bagai lembu dicucuk hidung setiap kali DAP bersuara.

“Bayangkan jika pemimpin Melayu masih tidak bersatu dan sanggup memecahkan sokongan demi membiarkan DAP terus berkuasa dan menjadi majoriti dalam kerajaan.

“Situasi membimbangkan seperti ini tidak mustahil jika DAP berjaya meluaskan pengaruh mereka melalui rancangan persempadanan semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bahkan menurut Zurk, impian DAP lebih mudah jika keberaniannya mengawal negara ini tidak dihalang oleh pemimpin dalam kerajaan campuran hari ini.

“DAP mesti terus ditolak! Aktiviti ‘buli’ mereka terhadap pemimpin Melayu Islam semakin membahayakan negara,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bahaya DAP kian terserlah setiap kali berada dalam kerajaan dan segala perkara yang sering dituntut mereka sentiasa mengganggu keluhuran undang-undang di Malaysia.

Tambahnya, terdapat tiga persoalan yang perlu dirisaukan oleh negara mengenai campur tangan DAP yang mula menunjukkan besar kepala mereka.

“Siapa DAP dalam kerajaan hari ini sehingga mereka boleh melanggar (arahan) pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dibuat demi kebaikan pendidikan merentas kaum?

“Apa keistimewaan DAP sehingga Menteri KPM terpaksa mengeluarkan kenyataan mempertimbangkan sumbangan syarikat arak kepada sekolah vernakular?

“Kenapa DAP terlalu ditakuti sehingga tiada pemimpin kerajaan menyelar kenyataan DAP yang mempertikai kredibiliti Menteri Kerajaan Campuran,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-