Saturday, July 20, 2024

UMNO Alor Setar tuntut kerusi Parlimen, satu DUN

bharian.com.my
Noorazura Abdul Rahman 
bhnews@bh.com.my
Julai 20, 2024 
Mesyuarat UMNO Bahagian Alor Setar dirasmikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah. - Foto FB SHAMSUL ANUAR NASARAH

ALOR SETAR: Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar meluluskan usul menuntut kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan itu untuk ditandingi parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Usul dikemukakan Wakil UMNO Cawangan Flat Tongkang Yard, Fisol Embi dan disokong Ketua UMNO Cawangan Tanjung Bendahara, Fazil Hashim sebelum diluluskan sebulat suara persidangan dihadiri 497 perwakilan itu.

Selain kerusi Parlimen Alor Star, bahagian berkenaan menuntut satu kerusi DUN, sama ada Suka Menanti atau Alor Mengkudu.

Tuntutan kerusi Parlimen, kata Fisol, disebabkan Pakatan Harapan (PH) gagal mempertahankan kerusi itu selepas tewas kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

Beliau berkata, susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersetuju memberi laluan kepada PH mempertahankan tiga kerusi DUN di Alor Setar pada pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu.

"Ia adalah DUN Suka Menanti, Alor Mengkudu dan Kota Darulaman. Ini mengecewakan UMNO dan BN terutama UMNO Alor Setar kerana tiada satu pun kerusi diperuntukkan kepada UMNO.

"DUN Suka Menanti yang menjadi milik UMNO sebelum tewas buat pertama kali pada PRU14 turut diberikan kepada PH melalui PKR," katanya ketika membentangkan usul berkenaan.

Beliau berkata pilihan raya negeri menyaksikan gabungan BN dan PH kalah di Suka Menanti dan Alor Mengkudu, kecuali DAP yang berjaya mengekalkan kerusi DUN Kota Darulaman.

Mesyuarat UMNO Bahagian Alor Setar dirasmikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-