Tuesday, August 27, 2024

'Diktator' - LFL selar pendakwaan pada Muhyiddin

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 27, 2024 12:40 PM
Lawyers for Liberty (LFL) menyelar pertuduhan hasutan terhadap pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sebagai bersifat diktator.

Pengarahnya Zaid Malek berkata mempersoalkan atau mengkritik pelaksanaan kuasa perlembagaan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak bersifat menghasut, kerana menurutnya Agong bukanlah pemerintah feudal dalam negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

“Pertuduhan itu berdasarkan kenyataan pemimpin pembangkang yang mempersoalkan Agong dalam melaksanakan kuasa perlembagaan berhubung pelantikan perdana menteri selepas pilihan raya umum lalu.

"Ini jelas kegagalan Pakatan Harapan (PH) dan pengkhianatan terhadap janji mereka sebelum ini untuk memansuhkan Akta Hasutan. Lupakah mereka bagaimana mendiang Karpal Singh dicop sebagai 'derhaka' kerana mempersoalkan Sultan Perak pada 2008?

"Atau bagaimana PH sendiri dituduh tidak setia kepada Agong kerana mempersoalkan keputusan menggesa darurat pada 2021?" soal Zaid dalam satu kenyataan hari ini.

Pagi ini, Muhyiddin minta dibicarakan atas tuduhan menghasut di Mahkamah Sesyen Gua Musang di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Pertuduhan terhadap presiden Bersatu itu dirangka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan berhubung ucapannya di Felda Perasu di Kelantan pada 14 Ogos, menjelang pilihan raya kecil Nenggiri.

Mengulas lanjut, Zaid berkata dalam sistem raja berperlembagaan, penggunaan kuasa raja boleh dibahaskan, dipersoalkan malah dikritik.

"Ini adalah asas sistem raja berperlembagaan kita. Mereka yang selama ini menggesa agar Muhyiddin didakwa mencemarkan struktur asas perlembagaan kita dengan memasukkan feudalisme ke dalamnya.

“Malangnya, ahli politik PH dan Umno daripada kerajaan Madani telah berada di barisan hadapan dalam kempen bermotifkan politik ini,” kata Zaid sambil mengingatkan bahwa ahli politik berkenaan menggunakan senjata yang sama yang pernah mereka anggap menindas.

Menurutnya, penggunaan undang-undang hasutan untuk menyekat kritikan bagi melindungi mereka yang berkuasa menjadikan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang dipersendakan.

Zaid kemudian menggesa kerajaan, khususnya PH, mengelak daripada menggunakan Akta Hasutan, dan mengambil langkah segera untuk memansuhkannya.

"Akta itu mesti dimansuhkan dan tidak dibenarkan menghantui negara kita lagi," katanya.

[Baca berita asal]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-