Sunday, August 4, 2024

Gagal lihat perubahan dalam rakyat punca UMNO hilang dominasi - Zahid

bharian.com.my
Oleh Norzamira Che Noh 
bhnews@bh.com.my
Ogos 4, 2024 @ 6:10pm

Ahmad Zahid (dua dari kanan) merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja 2024 di Hotel Premiere di Klang. - NSTP / FAIZ ANUAR

KLANG: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pertumbuhan ekonomi yang dibawa UMNO dalam mentadbir negara sebelum tidak lagi mampu memberikan keyakinan politik kepada rakyat.

Beliau berkata, perkara itu boleh dilihat menerusi sejarah lampau UMNO dengan parti kehilangan dominasi untuk mentadbir Selangor dan Pulau Pinang pada PRU pada 2008.

Puncanya, katanya disebabkan kegagalan untuk melihat perubahan yang berlaku dalam kalangan rakyat.

"Bukan hanya di Selangor, tetapi seluruh negara. Kita sedang mendakapi realiti politik baharu... ini suatu situasi yang harus kita hadapi. Untuk kita lihat (ke depan), sejarah silam jangan harus kita padamkan.

"Walaupun suatu ketika Selangor menjadi simpanan tetap politik kita, namun situasi itu berubah dan ia berlaku bukan secara organik, sebaliknya sangat berstruktur," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid mengingatkan ahli di peringkat akar umbi tidak merasa parti itu sebagai dominan seperti dahulu meskipun dengan pelantikan tujuh menteri Kabinet daripada UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

"DAP yang mempunyai (menang) kerusi lebih daripada kita, mereka hanya mempunyai lima menteri penuh. Janganlah kita yang berada di akar umbi ini (menganggap) bahawa tujuh (menteri Kabinet) ini seolah-olah kita dominan seperti dahulu.

"Realiti politik baharu ini, kita mesti mengukur baju di badan sendiri," katanya.

UMNO intai satu kerusi Parlimen Kota Raja

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyokong sekiranya gabungan itu diberikan satu daripada empat kerusi dalam Parlimen Kota Raja pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahmad Zahid berkata, persefahaman antara parti dalam Kerajaan Perpaduan hari ini membolehkan perbincangan secara harmoni bagi mencapai keputusan yang baik.

"Kita harap di Kota Raja, rakan-rakan (Kerajaan Perpaduan) akan lihat kebersamaan dan takkan daripada empat, satu pun tidak boleh diberikan kepada kita.

"Mohon satu kerusi 'no' (tiada) hal, kita bincang sesama kawan," katanya.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam ucapannya menyatakan hasrat supaya UMNO diberikan satu daripada empat kerusi dalam bahagian Kota Raja yang kini disandang Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, Parlimen Kota Raja dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen itu iaitu Sungai Kandis, Kota Kemuning dan Sentosa ditandingi komponen Pakatan Harapan (PH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-