Thursday, August 8, 2024

Halang DAP kempen umpama Umno sorok perkahwinan - Radzi

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Aug 8, 2024

Tindakan Umno menghalang DAP daripada turun berkempen umpama cubaan untuk merahsiakan pekahwinan, kata Naib Presiden Bersatu, Mohd Radzi Jidin.

Katanya, Umno berbuat demikian kerana sedar orang Melayu khususnya pengundi Umno tidak suka akan kerjasama parti itu dengan DAP.

"Umno cukup runsing kalau DAP mari ke Nenggiri kot-kot orang Nenggiri tahu dia (Umno) nikah dah dengan DAP.

"Ini taktik Umno ni dia anggap orang Nenggiri tak dapat maklumat dalam keadaan sekarang Umno tidak mendominasi kerajaan. Ini diakui sendiri oleh Presiden Umno," katanya ketika berucap di Ladang Sungai Terah, malam tadi.

Radzi memberi kiasan pasangan yang telah berkahwin namun Umno tidak mahu membawa pasangannya untuk pulang ke kampung kerana risau akan diketahui oleh orang ramai.

Katanya lagi, kekalahan PH di Sungai Bakap membuatkan Umno tidak mahu DAP turun berkempen di Nenggiri.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata pemilihan calon PN bagi PRK Dewan DUN Nenggiri perkara yang paling sukar dan cermat untuk memastikan episod lama tidak berulang kembali.

"Perkara ini yang paling cermat dilakukan kerana kita mempunyai sejarah yang tidak baik dan calon yang terpilih semestinya diterima oleh semua rakyat di DUN Nenggiri.

"Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Calon Bersatu bertanggungjawab memilih calon.

"Dalam banyak-banyak ada seorang calon yang memenuhi ciri-ciri, namun dia orang PAS, kerusi di Nenggiri adalah kerusi milik Bersatu," katanya.

Jelasnya pemilihan Mohd Rizwadi sebagai bekas anggota tentera bersesuaian dengan demografi Nenggiri.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi yang terbabit memilih mengundi secara pos.

Menurut SPR seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK DUN Nenggiri yang membabitkan 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

BN mempetaruhkan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani manakala PAS pula mempertaruhkan Mohd Rizwadi Ismail bagi mempertahan kerusi itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-