Thursday, August 8, 2024

Bersih: Guna bangunan k’jaan bercanggah amalan pilihan raya bersih, adil

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 8, 2024 12:12 PM
PRK NENGGIRI l Tindakan BN yang didakwa menggunakan bangunan milik kerajaan untuk operasi pilihan raya kecil di Nenggiri jelas bercanggah dengan amalan pilihan raya yang bersih dan adil, kata badan pemerhati pilihan raya Bersih.

Premis dan bangunan kerajaan tidak boleh digunakan sebagai markas atau pejabat mana-mana parti politik, kata Bersih kepada Malaysiakini.
“Sepatutnya pihak kerajaan perlu memastikan ada pemisahan yang jelas antara parti dan juga kerajaan sebagaimana yang termaktub dalam Article 4(1) Inter-Parliamentary Union.

“Sekiranya asset-asset kerajaan digunakan untuk mempromosikan dan memberi kelebihan kepada mana-mana parti politik, proses kempen tidak akan menjadi adil dan keputusan-keputusan pilihan raya akan kurang keabsahannya,” kata Bersih.

Badan pemantau pilihan raya itu diminta mengulas kenyataan pengarah operasi PN bagi PRK DUN Nenggiri Annuar Musa yang mendakwa bangunan, premis kerajaan dan asset serta penjawat awam digunakan membantu kempen parti kerajaan.

Dalam hantarannya di Facebook semalam, Annuar turut menyiarkan gambar yang menunjukkan bangunan yang dihiasi dengan bendera dan sepanduk BN.

Ini dikatakan berlaku di Dewan Teratai, kawasan penempatan Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang.

“Pilihan raya melibatkan parti dan bukan kerajaan. Jakoa (Jabatan Kemajian Orang Asli), Kesedar (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan), Felcra (Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan), Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) dan yang lain-lain perlu bebas dari dipaksa atau diperalatkan oleh parti politik.

“Pegawai kerajaan tidak suka mereka dipaksa melakukan arahan pemimpin parti tertentu.

“Berhentilah dari amalan yang tidak baik ini,” tulisnya.
Mengulas lanjut, Bersih turut bersetuju dan menggesa agar aset kerajaan tidak digunakan sewenang-wenangnya untuk memberi kelebihan tidak adil kepada calon parti kerajaan.

PRK pada 17 Ogos ini adalah pertembungan antara calon BN Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Rizwadi Ismail yang mewakili PN.

Pada 19 Jun, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Amar Nik Abdullah mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas menerima notis daripada Bersatu bahawa keahlian Azizi Abu Naim terhenti daripada ahli parti itu pada 13 Jun.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-