Sunday, August 4, 2024

Keadilan buat Najib, hala tuju PRU antara usul dikemuka UMNO bahagian - Asyraf Wajdi

bharian.com.my
Oleh Mohamed Farid Noh 
farid_noh@bh.com.my
- Ogos 4, 2024 @ 10:42am
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kulai di Dewan Raya Putra, Bandar Putera semalam.

KULAI: Keadilan diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak dan hala tuju UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, adalah antara usul yang diketengahkan 189 bahagian parti itu yang bermesyuarat sejak bulan lalu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata setakat ini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO masih belum membincangkan usul yang dikemukakan bahagian termasuk keadilan buat bekas Presiden UMNO itu mahu pun hala tuju parti menghadapi PRU.

Katanya, UMNO masih meneliti usul yang dibangkitkan 189 bahagian di seluruh negara, sebelum membawa usul berkepentingan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), 20 Ogos ini.

"Insya-Allah, Pengerusi Jawatankuasa Usul, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan memperhalusi semua usul dikemukakan mulai minggu hadapan. Kita di peringkat ibu pejabat sedang mengumpul (semua usul).

"Ini kerana ada beberapa bahagian lagi yang belum selesai bermesyuarat dan meminta pengecualian selain kelulusan khas untuk mengadakan mesyuarat. Minggu hadapan adalah minggu terakhir mesyuarat bahagian membabitkan Jempol dan Cameron Highlands, jadi apabila selesai baru kita akan perhalusi semua usul berkenaan.

"Setakat ini, saya tak boleh nak beritahu apa yang disuarakan bahagian secara tuntas. Namun sudah tentu antara dibincangkan adalah hala tuju UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, saya kira ini antara perkara yang akan diperhalusi.

"Kita juga tidak menafikan bahawa sentimen di peringkat bahagian-bahagian, mereka mahukan keadilan diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kulai, di sini, malam tadi.

Terdahulu, Asyraf Wajdi diminta mengulas mengenai sama ada terdapat usul UMNO kembali kepada sistem lama pemilihan parti membabitkan jawatan tertinggi di peringkat pusat, selepas lebih sedekad sistem itu tidak diguna pakai, dibahaskan bahagiannya di seluruh negara.

Mengulas isu itu, beliau yang juga Pengerusi MARA berkata, setakat ini masih belum ada perbincangan lagi di peringkat MKT UMNO termasuk usul cadangan sama ada UMNO kembali kepada sistem pemilihan lama membabitkan jawatan tertinggi parti.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau akan mengadakan sidang media khas PAU 2024 pada 14 Ogos ini.

Katanya, ia bagi memperincikan perjalanan PAU 2024 selain usul yang akan dibawakan ketika persidangan berkenaan.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-