Showing posts with label Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Show all posts
Showing posts with label Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Show all posts

Sunday, August 4, 2024

Keadilan buat Najib, hala tuju PRU antara usul dikemuka UMNO bahagian - Asyraf Wajdi

bharian.com.my
Oleh Mohamed Farid Noh 
farid_noh@bh.com.my
- Ogos 4, 2024 @ 10:42am
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kulai di Dewan Raya Putra, Bandar Putera semalam.

KULAI: Keadilan diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak dan hala tuju UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, adalah antara usul yang diketengahkan 189 bahagian parti itu yang bermesyuarat sejak bulan lalu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata setakat ini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO masih belum membincangkan usul yang dikemukakan bahagian termasuk keadilan buat bekas Presiden UMNO itu mahu pun hala tuju parti menghadapi PRU.

Katanya, UMNO masih meneliti usul yang dibangkitkan 189 bahagian di seluruh negara, sebelum membawa usul berkepentingan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), 20 Ogos ini.

"Insya-Allah, Pengerusi Jawatankuasa Usul, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan memperhalusi semua usul dikemukakan mulai minggu hadapan. Kita di peringkat ibu pejabat sedang mengumpul (semua usul).

"Ini kerana ada beberapa bahagian lagi yang belum selesai bermesyuarat dan meminta pengecualian selain kelulusan khas untuk mengadakan mesyuarat. Minggu hadapan adalah minggu terakhir mesyuarat bahagian membabitkan Jempol dan Cameron Highlands, jadi apabila selesai baru kita akan perhalusi semua usul berkenaan.

"Setakat ini, saya tak boleh nak beritahu apa yang disuarakan bahagian secara tuntas. Namun sudah tentu antara dibincangkan adalah hala tuju UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, saya kira ini antara perkara yang akan diperhalusi.

"Kita juga tidak menafikan bahawa sentimen di peringkat bahagian-bahagian, mereka mahukan keadilan diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kulai, di sini, malam tadi.

Terdahulu, Asyraf Wajdi diminta mengulas mengenai sama ada terdapat usul UMNO kembali kepada sistem lama pemilihan parti membabitkan jawatan tertinggi di peringkat pusat, selepas lebih sedekad sistem itu tidak diguna pakai, dibahaskan bahagiannya di seluruh negara.

Mengulas isu itu, beliau yang juga Pengerusi MARA berkata, setakat ini masih belum ada perbincangan lagi di peringkat MKT UMNO termasuk usul cadangan sama ada UMNO kembali kepada sistem pemilihan lama membabitkan jawatan tertinggi parti.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau akan mengadakan sidang media khas PAU 2024 pada 14 Ogos ini.

Katanya, ia bagi memperincikan perjalanan PAU 2024 selain usul yang akan dibawakan ketika persidangan berkenaan.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Friday, May 22, 2020

Tiada sesiapa yang dapat puaskan hati Mahathir sejak zaman Tunku

@politik
-May 22, 2020


KUALA LUMPUR:
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengharapkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghentikan segala tindakan dan usaha yang dapat memporak-porandakan kestabilan politik negara.

“Dari zaman Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Abdullah, Datuk Seri Najib sehinggalah kini Tan Sri Muhyiddin, nampaknya tiada sesiapa yang mampu memuaskan hati beliau.

“Moga dengan barakah Ramadan kali ini dapatlah kiranya terbuka hatinya untuk menerima seadanya sesiapa yang diangkat menjadi Perdana Menteri yang mungkin tidak sehebatnya. Amiin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dilaporkan, sebuah portal melaporkan Tun Dr Mahathir berikrar tidak akan berhenti daripada usaha menjatuhkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sebagaimana katanya kepada Reuters dalam wawancara melalui sidang video.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Langkawi itu mempertikaikan kesahihan kerajaan Perikatan Nasional setelah tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan akibat tindakannya meletakkan jawatan.

Malah, beliau cuba mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin meskipun hakikatnya, beliau sendiri pernah merestui Presiden Bersatu sebagai calon Perdana Menteri.

Saturday, July 13, 2019

Bekas wakil rakyat mahu kembali ke pangkuan UMNO

Sayed Hesham Idris
13 Julai 2019 3:11 PM

ASYRAF WAJDI (kiri) ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Padang Rengas hari ini. 
- UTUSAN ONLINE

PADANG RENGAS 13 Julai - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan terdapat beberapa bekas wakil rakyat UMNO yang sebelum ini menyertai Pakatan Harapan (PH) mahu kembali menyertai UMNO.

Menurutnya, malah terdapat beberapa orang di antara mereka yang telah menghantar surat permohonan kepada bahagian UMNO masing-masing.

Beliau berkata, mereka berbuat demikian kerana dipinggirkan dalam PH.

“Ada beberapa orang yang hantar surat kepada UMNO, kita serah kepada bahagian untuk fikirkan, jumlahnya saya tak boleh dedahkan.

“Sebabnya mereka tidak dilayan (dalam PH), mereka mengharapkan mendapat sesuatu di sebelah sana tapi rupa-rupanya tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Padang Rengas di sini hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, sama ada permohonan mereka diterima atau sebaliknya, itu diserahkan kepada Majlis Tertinggi parti.

Tegas beliau, namun Majlis Tertinggi mesti mendengar suara hati rakyat bawahan.

“Namun rata-rata ahli tidak mahu menerima mereka kerana di kala parti tersungkur, mereka meninggal bahtera namun ketika bahtera semakin pulih mereka berkira-kira untuk kembali semula,” katanya. 

- UTUSAN ONLINE

Wednesday, July 3, 2019

Cabaran di depan Zahid

Haspaizi Zain 
Diterbitkan Hari ini 8:18 pagi 


ULASAN | Ahad lalu Dr Ahmad Zahid Hamidi pastinya menjadi tumpuan ramai, - termasuk penganalisis politik kedai kopi - apabila beliau menamatkan teka-teki mengenai kedudukannya selaku presiden Umno.

Ketika banyak teori dan spekulasi berlegar, anggota parlimen Bagan Datuk itu menjawab tanda tanya itu dengan mengumumkan kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno selepas lebih enam bulan bercuti.

Ketika banyak ramalan mengatakan timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan akan terus menjalankan tugas Ahmad Zahid, di atas gelanggang sebenar, terjemahannya berbeda.

Kehadiran Ahmad Zahid kali ini agak berbeza. Pemimpin parti di pelbagai peringkat akur dengan keputusan beliau untuk kembali menjalankan tugas yang sempat dipikul sementara oleh bekas menteri besar Negeri Sembilan.

Jika ada yang lupa, Ketua Pemuda Umno - Dr Asyraf Wajdi Dusuki - ialah pemimpin peringkat tinggi pertama bersuara mahukan Ahmad Zahid berehat selepas berdepan pertuduhan di mahkamah.

Kali ini Asyraf Wajdi kelihatan akur dengan keputusan presidennya itu.

Begitu juga dengan Ketua Umno Tebrau, Maulizan Bujang, yang sebelum ini mendesak Ahmad Zahid supaya "melepaskan" Umno. Dia turut akur dengan keputusan Ahmad Zahid.

Saf berjaya dirapatkan

Cumanya, di sebalik ketundukan dengan keputusan itu, ada saranan dilontarkan kepada Ahmad Zahid. Beliau diminta dapat memperkukuhkan parti dan peka terhadap suara akar umbi yang menuntut perubahan.

Walaupun kehadiran Ahmad Zahid kali ini dalam suasana berbeza - pemimpin Umno yang lain dilihat lebih cool menerima khabar berkenaan - namun tugas besar lagi berat menanti presiden Umno itu.

Antaranya, beliau mesti memastikan parti yang menjadi tulang pinggul BN itu kembali relevan dan mampu memenangi hati rakyat.
Rekod cemerlang Mohamad yang berjaya memimpin tiga kemenangan BN dalam tiga pilihan raya kecil (PRK) pasti menjadi cabaran untuk Ahmad Zahid. Beliau perlu meneruskan momentum kecemerlangan itu apabila keadaan memerlukan.

Mohamad - ataupun lebih dikenali sebagai Mat Hasan ataupun Tok Mat - dalam tempoh enam bulan lalu sedikit sebanyak berjaya merapatkan saf kepemimpinan Umno.

Beliau juga berjaya menghentikan ribut yang membadai Umno apabila wakil rakyatnya secara beramai-ramai bertindak lompat parti.

Begitu juga citra dan pembawaan Mat Hasan sedikit sebanyak berjaya menarik kembali sokongan rakyat kepada Umno dan BN.

Mesra dengan Anwar

Justeru cabaran getir yang perlu digalas dengan penuh berhemah oleh Ahmad Zahid bukan saja untuk mengekalkan mahupun menarik lebih banyak lagi sokongan rakyat, malah memastikan kepemimpinan Umno di peringkat dalaman tidak bergolak dengan keputusannya itu.

Kembalinya Ahmad Zahid juga menarik perhatian terhadap usaha kerjasama ataupun penyatuan ummah di antara Umno dan PAS yang disemarakkan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Di atas kertas, Umno dan PAS dilihat begitu semangat dan serius untuk menjayakan agenda itu bagi memastikan kerjasama dengan parti yang lain dalam BN membuahkan hasil.

Matlamat akhir mereka tentulah Putrajaya.

Apakah kerjasama Umno dan PAS akan terus utuh sehingga PRU ke-15? Itu tanda tanya yang menarik untuk difikirkan.

Sementara itu di sisi lain, umum mengetahui berbanding pemimpin lain dalam Umno, Ahmad Zahid dilihat lebih 'mesra' dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dalam usaha membentuk kerajaan.

Ia bukan lagi rahsia, malah tindakan segelintir wakil rakyat Umno melompat parti adalah disebabkan menolak agenda Ahmad Zahid ketika itu yang ingin membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP.

Malah, perkara itu didedahkan sendiri Anggota Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz, yang menjadi orang tengah kepada usaha itu.

PAS sebelum ini menyatakan pendiriannya menyokong Dr Mahathir Mohamad untuk terus menjadi perdana menteri sehingga PRU ke-15.
Malah, PAS secara tegas dan konsisten menolak Anwar sebagai perdana menteri kelapan meskipun terdapat perjanjian dalam PH untuk mengangkat anggota parlimen Port Dickson itu sebagai pengganti Mahathir.

Pemimpin Umno di peringkat akar umbi pula ketika ini secara umumnya cukup gembira dengan taawun ataupun tahaluf siyasi parti itu dengan PAS.

Jadi, jika agenda untuk membentuk kerajaan gabungan Umno, PKR dan DAP dihidupkan kembali, tampak laluan bagi kerjasama Umno dan PAS - yang kini bertaut - mampu kekal sehingga PRU-15.

Ahmad Zahid kini juga berdepan dengan 87 pertuduhan membabitkan isu pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Baca 'Umno kalah sekali terbenam, sekali lagi mungkin tertimbus'

Naratif politik yang dimainkan pemimpin Umno ialah, pertuduhan itu dipaparkan sebagai agenda untuk melemahkan Umno dengan menyerang pemimpinnya.

Soal bersalah atau tidak itu terserah pada mahkamah.

Naratif itu adalah lazim, sama seperti PKR mempertahankan Anwar - dan Azmin Ali - yang terpalit dengan tuduhan berkaitan skandal atas ranjang sebelum ini.

Anggota PKR tetap menolak perkara itu dan menyifatkannya sebagai fitnah.

Dari segi itu, sewajarnya anggota Umno mencontohi semangat PKR yang gigih mempertahankan pemimpin mereka dan yakin bahawa individu terbabit menjadi mangsa pihak tertentu.

Baca Cerita Lailatulqadar dan 'missed call' 25 Ramadan Zahid

Persoalannya, dengan 87 kes mahkamah dihadapi Ahmad Zahid, apakah beliau masih mempunyai masa untuk menguruskan pertuduhan di hadapinya di mahkamah dan pada masa sama bekerja untuk Umno.

Itu cabaran yang perlu Ahmad Zahid hadapi apabila ia membuat keputusan untuk kembali menduduki kerusi Umno.

Sejauh mana ia mampu menggalas cabaran itu, hanya beliau yang mempunyai jawapan.

Dengan kembalinya Ahmad Zahid juga pasti ramai akan tertunggu-tunggu peristiwa besar yang akan berlaku berdasarkan 'kasyaf' para ulama seperti yang pernah dinukilkannya sebelum ini.

Pada Feb lalu - dalam satu program - Ahmad Zahid memberi bayangan akan kembali memimpin parti itu selepas peristiwa besar berlaku dalam negara.

HASPAIZI ZAIN ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-