Thursday, August 29, 2024

Najib hanya minta perbicaraan adil, bukan dibebaskan - Ismail Sabri

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 29, 2024
Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Najib Razak tidak pernah meminta untuk dibebaskan daripada pertuduhan kes yang dihadapinya di mahkamah.

Bercakap dalam program Podcast Keluar Sekejap (KS) yang dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, bekas naib presiden Umno itu berkata, Najib tidak pernah meminta bantuannya berhubung kes SRC International.
Sebaliknya, kata Ismail Sabri, bekas presiden Umno itu hanya mahu perbicaraan adil diberikan kepadanya.

“Ramai orang luar tidak tahu bahawa Najib (ketika) jumpa saya (dia) tidak minta dibebaskan. Dia hormat kepada mahkamah,” katanya.

Najib dipenjarakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya ketika pentadbiran Ismail Sabri pada Ogos 2022, yang mencetuskan kemarahan penyokong “Bossku” itu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak campur tangan urusan mahkamah kerana ia boleh menjejaskan kemasukan pelaburan asing ke negara ini.

“Kalau mahkamah kita boleh masuk campur, bagaimana persepsi luar? Kononnya mahkamah kita boleh disusun jadi tak ada siapa akan datang melabur di negara kita.

"Pelabur kalau ditipu ke mana mereka nak hadapkan (pesalah), sebab mahkamah Malaysia tidak boleh pakai. Kita bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI), kalau mahkamah dikawal oleh kerajaan tak ada siapa akan percaya kepada kita.

“Bagi saya dengan Najib, kita bagi perbicaraan yang adil. Orang kata saya masukkan dia dalam penjara, tak betul itu keputusan Mahkamah Tinggi yang menentukan,” katanya lagi.
Mengakui bahawa Najib masih mendapat sokongan padu dalam Umno, dia berkata ketua penerangan parti itu, Azalina Othman Said telah ditugaskan untuk mendapatkan pengampunan penuh untuknya daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Saya harap adalah kalangan daripada kita (Umno) menghadap Yang di-Pertuan Agong minta supaya adendum itu dibawa semula ke dalam mesyuarat (Lembaga Pengampunan) agar Najib boleh menjalani tahanan di rumah.

“Ataupun Lembaga Pengampunan diminta supaya Najib dapat pengampunan penuh daripada Agong. Kalau (kes masih) di mahkamah dari Mahkamah Tinggi hingga peringkat seterusnya ada sembilan hakim. Tak mudah.
“Saya harap boleh buat sesuatu, saya juga harap kepimpinan terutama Azalina yang satu ketika dahulu begitu garang, menghadap merayu kepada Agong,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-