August 29, 2024
Dr Azman Ibrahim
KUALA TERENGGANU: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Azman Ibrahim meluahkan kebimbangan yang mendalam terhadap isu sensitif berkaitan agama Islam yang dijadikan bahan persendaan oleh pihak tertentu.
Kata beliau, isu agama Islam sering dijadikan bahan mainan oleh bukan Islam, terutamanya apabila ‘garis merah’ yang sepatutnya dihormati sengaja dilanggar.
“Kenapa orang berani permainkan kita? Apakah kerana mereka telah kuat? Saya melihat mereka tidak kuat tapi kita yang lemah.
“Bila survival untuk kekal di puncak kuasa terpaksa bergantung kepada angka dari sebelah mereka, maka berlakulah apa yang sedang melanda,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Menurutnya, toleransi yang selama ini diamalkan demi menjaga keharmonian telah diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Kita terlalu bertolak ansur demi keharmonian. Tapi apakah tolak ansur kita diraikan. Saya melihat sikap tolak ansur kita telah diambil kesempatan.
“Kes-kes penghinaan terhadap Islam hanya berakhir dengan permohonan maaf, dibebaskan tidak bersalah atau hukuman ala kadar.
“Ada ketikanya seorang pencuri Milo di pasar raya menerima hukuman yang lebih berat,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu.
Situasi itu, menurutnya mencetuskan kesedihan yang mendalam dalam kalangan umat Islam.
“Tanpa melakukan sesuatu, apa kita nak jawab di hadapan Allah kelak?” soalnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.