Sunday, September 15, 2024

'Dedahkan kandungan perjanjian jika kerajaan berani'

bharian.com.my
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim 
nfazlina@nstp.com.my
September 15, 2024 
(Gambar fail) Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

KOTA BHARU: Keputusan Perikatan Nasional (PN) menolak dua draf cadangan memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN, disifatkan sebagai langkah tepat.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata ini kerana draf cadangan MoU itu didakwa mengandungi terma perjanjian yang sangat berbahaya terhadap kedudukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan agama Islam dan hak-hak istimewa Bumiputera.

"Dalam memorandum itu, dinyatakan dengan jelas bahawa Ahli Parlimen PN hendaklah memperakui hak-hak sama rata semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

"Tiada sebarang jaminan dinyatakan terhadap kedudukan agama Islam serta hak-hak Bumiputera dalam memorandum itu, menjadikan ia perkara yang berada dalam kedudukan samar dan boleh ditafsirkan dengan pemahaman salah.

"Bukankah Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, mengatasi agama-agama yang lain? Bukankah Perlembagaan yang sama juga menjamin hak-hak Bumiputera, maka apakah maksud daripada terma perjanjian yang 'memaksa' PN memperakui hak-hak sama rata tanpa mengira agama dan bangsa?" katanya dalam kenyataan melalui Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga mendakwa Ahli Parlimen pembangkang dikehendaki untuk tidak membuat 'bangkangan' yang sia-sia di Parlimen.

"Belum lagi dinyatakan mengenai 'paksaan' kepada Ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk tidak membuat 'bangkangan yang sia-sia' di dalam Parlimen.

"Siapakah yang akan membuat definisi 'sia-sia' itu? Jika tidak boleh membuat bangkangan, maka apa lagi tugas seorang Ahli Parlimen? Untuk menjadi 'rubber stamp' kepada kerajaan?

"Sekali-kali tidak. Kami tidak akan tunduk dengan (dakwaan) kejahatan dan kezaliman ini. Biar mati berkalang tanah, daripada hidup bercermin bangkai. Adakah tidak benar fakta perjanjian ini? Nah, dedahkan kandungan perjanjian jika kerajaan berani.

"Dengan ini, kenyataan Ketua Pembangkang menolak MoU adalah disokong," katanya.

Terdahulu, media melaporkan PN mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dipetik berkata keputusan menolak dua draf cadangan MoU yang membabitkan antara Kerajaan Malaysia dengan parti PN dan antara Kerajaan Malaysia dengan semua Ahli Parlimen PN itu dibuat atas empat sebab fundamental.

Hamzah mendakwa, cadangan MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-