Showing posts with label Perjanjian Persefahaman (MoU). Show all posts
Showing posts with label Perjanjian Persefahaman (MoU). Show all posts

Sunday, September 15, 2024

'Dedahkan kandungan perjanjian jika kerajaan berani'

bharian.com.my
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim 
nfazlina@nstp.com.my
September 15, 2024 
(Gambar fail) Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

KOTA BHARU: Keputusan Perikatan Nasional (PN) menolak dua draf cadangan memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN, disifatkan sebagai langkah tepat.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata ini kerana draf cadangan MoU itu didakwa mengandungi terma perjanjian yang sangat berbahaya terhadap kedudukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan agama Islam dan hak-hak istimewa Bumiputera.

"Dalam memorandum itu, dinyatakan dengan jelas bahawa Ahli Parlimen PN hendaklah memperakui hak-hak sama rata semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

"Tiada sebarang jaminan dinyatakan terhadap kedudukan agama Islam serta hak-hak Bumiputera dalam memorandum itu, menjadikan ia perkara yang berada dalam kedudukan samar dan boleh ditafsirkan dengan pemahaman salah.

"Bukankah Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, mengatasi agama-agama yang lain? Bukankah Perlembagaan yang sama juga menjamin hak-hak Bumiputera, maka apakah maksud daripada terma perjanjian yang 'memaksa' PN memperakui hak-hak sama rata tanpa mengira agama dan bangsa?" katanya dalam kenyataan melalui Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga mendakwa Ahli Parlimen pembangkang dikehendaki untuk tidak membuat 'bangkangan' yang sia-sia di Parlimen.

"Belum lagi dinyatakan mengenai 'paksaan' kepada Ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk tidak membuat 'bangkangan yang sia-sia' di dalam Parlimen.

"Siapakah yang akan membuat definisi 'sia-sia' itu? Jika tidak boleh membuat bangkangan, maka apa lagi tugas seorang Ahli Parlimen? Untuk menjadi 'rubber stamp' kepada kerajaan?

"Sekali-kali tidak. Kami tidak akan tunduk dengan (dakwaan) kejahatan dan kezaliman ini. Biar mati berkalang tanah, daripada hidup bercermin bangkai. Adakah tidak benar fakta perjanjian ini? Nah, dedahkan kandungan perjanjian jika kerajaan berani.

"Dengan ini, kenyataan Ketua Pembangkang menolak MoU adalah disokong," katanya.

Terdahulu, media melaporkan PN mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dipetik berkata keputusan menolak dua draf cadangan MoU yang membabitkan antara Kerajaan Malaysia dengan parti PN dan antara Kerajaan Malaysia dengan semua Ahli Parlimen PN itu dibuat atas empat sebab fundamental.

Hamzah mendakwa, cadangan MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan.

Ahli Parlimen PN sebulat suara tolak draf MoU peruntukan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-15 Sep 2024, 09:05 AM

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata antara alasan penolakan adalah mengongkong kebebasan bersuara dan didakwa jejas hak orang Melayu dan Bumiputera.
Hamzah Zainudin turut mengingatkan pihak kerajaan kepada manifesto Pakatan Harapan yang berjanji dana pembangunan kawasan pilihan raya secara sama rata.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sebulat suara menolak draf cadangan memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkait peruntukan kepada wakil rakyat, kata Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.

Beliau yang juga setiausaha agung PN memberi empat sebab fundamental penolakan yang antaranya didakwa bertentangan Perlembagaan Persekutuan dengan beberapa syarat dikenakan dikhuatiri menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

“Draf MoU tersebut mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, nilai budaya, nilai moral, agama serta nilai-nilai tempatan.

Draf MoU tersebut juga tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas dan keadaan ini boleh membuka ruang kepada berlakunya apa-apa pelanggaran, mungkir janji atau ketidakpatuhan secara ex-parte, katanya dalam kenyataan.

Katanya, draf berkenaan turut mengandungi perkara dilihat mengongkong kebebasan bersuara Ahli Parlimen.

Sedangkan setiap Ahli Parlimen mempunyai hak dan imuniti untuk bersuara bagi pihak rakyat mengikut Akta 347 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, katanya.

Dalam kenyataan itu, Hamzah tidak mendedahkan butiran terperinci terkandung dalam MoU dirujuk.

Beliau juga berkata, PN mahu memperingatkan pihak kerajaan kepada manifesto Pakatan Harapan yang berjanji dana pembangunan kawasan pilihan raya (CDF) secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti.

Pada 20 Ogos lalu, Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan mengesahkan menerima draf MoU itu.

Pada 9 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata isu agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak patut menjadi isu rumit diselesaikan.

Ini kerana, katanya, syarat ditetapkan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang mahu mendapat peruntukan adalah syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan serta amalan demokrasi.

Monday, March 14, 2016

Adakah MoU 1.5 juta pekerja Bangladesh terbatal?

FMT Reporters

Kerajaan perlu memberi penjelasan status MoU itu susulan keputusan Kabinet menghentikan pengambilan pekerja asing.
PETALING JAYA: Kerajaan dituntut memberi penjelasan berhubung status Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Bangladesh susulan keputusan Kabinet menghentikan pengambilan pekerja asing berkuatkuasa Jumaat lalu.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu menjelaskan adakah MOU itu terbatal begitu sahaja?

“Apa reaksi di pihak kerajaan Bangladesh? Apakah kerajaan dikenakan apa-apa bayaran ganti rugi kerana membatalkan MoU ini?, soalnya menerusi kenyataan media, hari ini.

MoU itu ditandatangani pada pertengahan Februari lalu untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun.

Perjanjian itu ditandatangani di Dhaka antara Menteri Sumber Manusia Malaysia Datuk Seri Richard Riot dan Menteri Pekerjaan Luar Negara dan Kebajikan Ekspatriat Bangladesh Nurul Islam.

Pada Sabtu, Zahid memberitahu Kabinet membuat keputusan menghentikan pengambilan pekerja asing berkuatkuasa serta merta kecuali pembantu rumah.

Idris berkata, kerajaan mesti mengotakan janji itu dan bukan sekadar janji bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak atau bertujuan meredakan kemarahan rakyat yang berdepan masalah pengangguran yang semakin serius.

“Memandangkan banyak sektor yang boleh melibatkan orang tempatan di sektor 3D (kotor, bahaya dan susah) maka kerajaan mesti membuat saringan semula untuk memastikan tenaga asing yang diperlukan sahaja untuk bekerja di negara ini. Selebihnya perlu dihantar balik ke negara mereka dan ditempatkan penduduk tempatan di sektor tersebut,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-