Sunday, September 15, 2024

Hak sama rata tanpa kira agama antara sebab PN tolak MoU kerajaan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 15, 2024
Keputusan PN menolak dua set deraf cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada ahli parlimennya disifatkan sebagai langkah tepat.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata ini kerana deraf cadangan MoU itu didakwa mengandungi terma perjanjian yang sangat berbahaya terhadap kedudukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan agama Islam dan hak-hak istimewa Bumiputera.

“Dalam memorandum tersebut dinyatakan dengan jelas bahawa ahli-ahli Parlimen PN hendaklah memperakui bahawa hak-hak sama rata semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

“Tiada sebarang jaminan dinyatakan terhadap kedudukan agama Islam dan hak-hak Bumiputera di dalam memorandum tersebut menjadikan ia perkara yang berada dalam kedudukan yang samar dan boleh ditafsirkan dengan pemahaman yang salah.

“Bukankah Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan mengatasi agama-agama yang lain? Bukankah Perlembagaan yang sama juga menjamin hak-hak Bumiputera, maka apakah maksud dari terma perjanjian yang 'memaksa' Perikatan Nasional memperakui hak-hak samarata tanpa mengira agama dan bangsa?soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Enggan jadi ‘rubber stamp’

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga ahli Parlimen Pasir Mas turut mendakwa wakil rakyat pembangkang dikehendaki untuk tidak membuat 'bangkangan' yang sia-sia di Parlimen.

“Siapakah yang akan membuat defisini 'sia-sia' itu? Jika tidak boleh membuat bangkangan. Maka apa lagi tugas seorang ahli parlimen? Untuk menjadi 'rubber stamp' kepada kerajaan?

“Sekali-kali tidak. Kami tidak akan tunduk dengan kejahatan dan kezaliman ini. Biar mati berkalang tanah, dari hidup bercermin bangkai.

“Dengan ini, kenyataan Ketua Pembangkang menolak memorandum persefahaman adalah disokong,” tegasnya.

Terdahulu, PN hari ini sebulat suara menolak dua set deraf cadangan MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada ahli parlimennya.

MoU itu adalah di antara kerajaan dan parti PN serta di antara kerajaan dengan semua ahli Parlimen PN.

Menurut Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin, keputusan sebulat suara menolak MoU tersebut dibuat atas empat sebab fundamental yang antaranya didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Hamzah berkata, draf berkenaan turut mengandungi perkara dilihat mengongkong kebebasan bersuara ahli Parlimen.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-