Sunday, September 15, 2024

PAS boleh tukar nama kepada PSA - Parti Semua Agama, kata Puad

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 15, 2024 5:49 PM
PAS sanggup berubah menjadi parti liberal apabila membuka keahlian bersekutunya kepada semua agama kecuali Aties, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi.

Jelasnya, keputusan itu juga memberi isyarat bahawa PAS tidak mempunyai keyakinan kepada rakan komponennya iaitu Gerakan dan Bersatu dalam menarik sokongan bukan Islam.

Ia sekali gus memberi gambaran akan kegagalan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), katanya.

"Semua agama boleh jadi ahli bersekutu PAS kecuali Ateis. PAS desperate dan terpaksa jadi liberal.

"Adakah itu akan menarik minat ramai bukan Melayu menyokong PAS? PAS macam mengakui penubuhan DHPP gagal menambah sokongan bukan Melayu kepada PAS.

"Menyuruh pemimpin PAS berkahwin dengan bukan Melayu kerana undi jadi bahan ketawa. PAS tidak percaya kepada Gerakan dan Bersatu untuk tarik sokongan Cina. Lebih baik tukar nama PAS kepada PSA (Parti Semua Agama)," tulis Mohd Puad di Facebooknya.

Malaysiakini sebelum itu melaporkan keahlian PAS kini dibuka kepada orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu selepas parti itu meluluskan pindaan perlembagaan pada Muktamar ke-70, hari ini.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam pembentangan usul pindaan perlembagaan bagaimanapun menyatakan antara syarat keahlian bukan Islam adalah mestilah menjadi penganut agama lain.

Katanya, seseorang yang tidak mempunyai agama atau ateis tidak layak menjadi ahli bersekutu PAS.

“Beragama selain daripada Islam, ia kita sebut bukan beragama Islam (atau) beragama selain Islam.

“Maksudnya seseorang nak jadi ahli bersekutu PAS mesti beragama. Sama ada Hindu, Kristian, Buddha dan mesti jadi ahli agama apa saja yang ada dalam dunia ini.

“Dalam kata lain ateis, orang tak ada agama tak boleh jadi ahli bersekutu PAS,” katanya pada mesyuarat agung tahunan PAS di Kompleks Al-Makmur di Kerdau, Temerloh, Pahang itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-