Oleh Baharom Bakar
bhnews@bh.com.my
- September 7, 2024 @ 12:29pm
Teresa Kok (kiri), dan Rozi Mamat
KUALA TERENGGANU: UMNO negeri menyanggah kenyataan Ahli Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok yang mendakwa kewajipan mendapatkan sijil halal membebankan peniaga dan memalukan negara.
Pengerusi UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat, berkata kenyataan itu tidak hanya menyentuh aspek komersial, tetapi membabitkan isu pemeliharaan kesucian dan kedaulatan agama Islam.
Katanya, Islam menetapkan garis panduan yang jelas dalam soal makanan serta minuman dan sijil halal adalah penting untuk memastikan umat Islam tidak termakan sesuatu yang tidak menepati syarak.
"Sijil halal juga berfungsi sebagai perlindungan kepada pengguna Muslim daripada sebarang kekeliruan atau eksploitasi.
"Kenyataan Setiausaha Publisiti DAP bahawa sijil halal membebankan peniaga menunjukkan kurangnya pemahaman mengenai tanggungjawab sosial dan agama yang sepatutnya dipikul dalam masyarakat pelbagai agama dalam negara," katanya.
Rozi mengulas kenyataan Teresa yang mendakwa cadangan kerajaan mewajibkan restoran dan syarikat makanan tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk membabitkan pengusaha restoran Melayu.
Teresa juga turut mendakwa langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.
Mengulas lanjut, Rozi berkata Teresa digesa memahami kepentingan sijil halal, menghormati sensitiviti umat Islam dan tidak memandang perkara itu sebagai beban.
Katanya, sijil halal adalah satu keperluan untuk menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat di seluruh negara, terutama dalam konteks sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan.
"Kerajaan terutama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah mengambil langkah proaktif untuk memantapkan lagi industri halal di negara ini.
"Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memastikan sijil halal bukan sahaja lebih mudah diperoleh, tetapi juga lebih diyakini dan berdaya saing di peringkat global.
"Antara usaha dilakukan kerajaan adalah mempercepatkan proses permohonan sijil halal melalui digitalisasi dan mengurangkan kerenah birokrasi, serta mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai pusat halal global," katanya.
Rozi berkata Kerajaan Perpaduan juga komited untuk memastikan industri halal terus berkembang dan menjadi pemacu utama ekonomi negara dan bukannya bebanan.
"Kita menggesa semua pihak terutama Teresa supaya memahami kepentingan sijil halal, menghormati sensitiviti umat Islam serta tidak memandang perkara ini sebagai beban," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.