Saturday, September 7, 2024

Industri halal Malaysia teratas di dunia, bukan memalukan negara

harakahdaily.net
September 7, 2024
KUALA LUMPUR: Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin menyifatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai ‘bila mulut lebih laju dari otak’.

Tempelakan Hanif itu ekoran kenyataan pemimpin DAP tersebut bahawa ‘mewajibkan sijil halal akan tambah beban peniaga, memalukan negara’ seperti laporan media, semalam.

Hanif berkata, mencari yang halal adalah wajib bagi setiap orang Islam dan ia adalah perintah Allah kepada semua orang Islam.

“Begitu juga orang yang terlibat dalam proses menyediakan makanan kepada orang Islam juga wajib atau mesti memastikan makanannya halal.

“Ia tiada kena mengena dengan orang bukan Islam. Mengapa mesti melenting,” persoal beliau dalam satu hantaran di media sosial miliknya.
Muhammad Hanif Jamaluddin
Mengulas berkenaan ‘tambah beban peniaga’, beliau berkata, sepanjang tahun 2023, sebanyak 15,605 jumlah permohonan direkodkan dan sebanyak 8,509 permohonan diluluskan manakala sebanyak 132,106 pelbagai produk telah diberikan sijil halal.

“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Adakah yang dibimbangkan ialah peniaga-peniaga bukan Islam yang cuba mengaburi pelanggan Islam tanpa berusaha untuk mendapatkan sijil halal?” persoal beliau.

Manakala berkenaan ‘memalukan negara’, beliau memaklumkan bahawa industri halal Malaysia berada di tempat pertama daripada 81 buah negara selama 10 tahun berturut-turut.

Berdasarkan laporan dikeluarkan State of Global Islamic Economy (SGIE) oleh Dinar Standards, Malaysia berada di tempat pertama bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) 2023.

Hanif berkata, industri halal antarabangsa yang bernilai USD2 trilion dijangka akan meningkat sehingga USD4.96 trilion pada tahun 2030.

“Industri halal terbukti menjadi salah satu sektor paling kompetitif dan pantas di dunia.

“Pasaran halal berkembang dengan pesat disebabkan saiz pasaran pengguna di seluruh dunia yang besar,” terang beliau.

Beliau berkata, dianggarkan sebanyak 25 peratus penduduk dunia adalah beragama Islam manakala 42 peratus penduduk di Asia Tenggara adalah beragama Islam.

“So, adakah pasaran halal ini akan memalukan negara? Nah boleh baca link dari MKN ini berkaitan peranan industri halal yang sangat besar. https://www.mkn.gov.my/web/ms/2024/06/26/peranan-industri-halal/

“Jangan malas membaca, nanti bebal,” kata beliau. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-