Diterbitkan: Sep 27, 2024 9:32 AM
PAS Pahang menyarankan agar pemimpin kerajaan perpaduan mencontohi Muhammad Sanusi Md Nor yang memohon keampunan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kelmarin.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu, berkata Sanusi wajar dipuji kerana sanggup merendahkan dirinya untuk memohon keampunan kepada Sultan Sharafuddin.
Menegaskan bahawa Sanusi juga merupakan manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan, Andansura berkata seseorang pemimpin mesti bersikap terbuka untuk menerima kritikan selain bijak menangani isu secara berhemah.
Justeru katanya tindakan Sanusi itu wajar dicontohi oleh pemimpin lain.
“Perkara sebegini seharusnya dijadikan contoh kepada mana-mana individu yang memegang jawatan tinggi dalam sesebuah kerajaan sama ada peringkat persekutuan mahupun negeri,” katanya dipetik Harakahdaily.
Andansura yang juga Adun Beserah berkata dengan mengambil langkah seperti diambil Sanusi seseorang pemimpin boleh dijadikan teladan sekali gus mampu menguruskan negara dengan lebih teliti.
Sanusi pada 25 Sept membuat permohonan keampunan secara terbuka kepada Sultan Sharafuddin ekoran insiden yang berlaku di Selangor melibatkan baginda serta kerajaan negeri.
Dia yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berbuat demikian selepas lebih setahun membuat kenyataan yang menimbulkan kemurkaan pihak istana. Sebelum ini Sanusi pernah membuat permohonan maaf iaitu kira-kira tiga hari selepas insiden melibatkan kerajaan Selangor.
Kenyataan Sanusi yang dibuat di Selayang itu juga menyaksikan lebih 20 laporan polis dibuat ke atasnya, termasuk dari Dewan Diraja Selangor sendiri.
Hanya nabi, rasul sempurna
Sultan Sharafuddin kemudian mengeluarkan kenyataan mengampunkan Sanusi, namun baginda turut menasihatkan ahli politik kanan PAS itu agar menjaga tatasusilanya.
Untuk rekod Sanusi juga berdepan dengan kes mahkamah terkait dengan pihak istana apabila didakwa mengeluarkan kata-kata yang menghina Yang di-Pertuan Agong.
Dia didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pada 18 Julai 2023 dan mengaku tidak bersalah.
Kata Andansura pemimpin yang baik akan menjadikan kritikal yang dikenakan ke atasnya sebagai ruang memperbaiki diri, bukannya dilihat langkah memperlekehkan seseorang.
Mendakwa sifat seperti Sanusi itu tiada pada pemimpin kerajaan perpaduan, Andansura berkata, mereka menganggap kritikan itu sebagai serangan peribadi.
“Tiada sifat rendah diri ditunjukkan apabila mereka sendiri melakukan kesilapan dan ini berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Menteri Besar Kedah baru-baru ini.
“Kita semua kena akui bahawa manusia tidak sempurna dalam semua perkara dan bagi saya, mana-mana kritikan yang membina patut kerajaan ambil sebagai satu peluang bagi membetulkan semula keadaan negara ini,”katanya.
Sementara itu Dewan Pemuda PAS Selangor turut memuji tindakan Sanusi.
Ketua penerangannya, Abdul Basith Abdul Halim, berkata Sanusi wajar dijadikan teladan yang baik kepada semua pihak.
Dia juga menegaskan tiada tiada manusia yang sempurna di atas muka bumi ini kecuali para nabi dan rasul.
“Maka, beruntunglah bagi mereka yang sedar dengan kekhilafan itu dan berusaha memperbaiki dirinya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.