Thursday, September 5, 2024

Penubuhan SG4 satu perkembangan positif - Ahmad Zahid

bharian.com.my
Oleh Latifah Arifin 
latifah@bh.com.my
- September 5, 2024 @ 11:16am
Ahmad Zahid pada majlis Persidangan Perundangan Antarabangsa Ancaman dalam Talian 2024 di KLCC, hari ini. NSTP/AIMAN HARIZ AZHAR

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat penubuhan syarikat dinamakan SG4 Group Sdn Bhd oleh empat kerajaan negeri ditadbir pembangkang sebagai satu perkembangan positif, khususnya bagi penerokaan sumber ekonomi secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata, pemimpin pembangkang tentunya mempunyai strategi tersendiri selari dengan penubuhan syarikat terbabit.

"Saya melihat SG4 yang ditubuhkan itu mempunyai maksud yang baik, namun kita tahu harga unsur nadir bumi (REE) di pasaran dunia kini merosot 70 peratus.

"Ini disebabkan oleh 'dumping' atau lambakan REE di pasaran dunia dengan pengeluaran 'stockpile' oleh negara tertentu," katanya selepas melancarkan Persidangan Perundangan Antarabangsa Ancaman dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Isnin lalu, empat kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu menubuhkan sebuah syarikat bagi membolehkan hasil diperoleh negeri berkenaan diagihkan secara saksama untuk pembangunan negeri.

Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata syarikat yang dinamakan SG4 Group Sdn Bhd itu akan memberi fokus kepada lima kluster ekonomi, dengan setiap negeri mempunyai pegangan ekuiti 25 peratus.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, walaupun berlaku penurunan harga REE di pasaran dunia, namun potensinya masih cukup besar untuk diterokai.

Bagaimanapun, katanya, ia masih tertakluk kepada percukaian dan ekosistem yang ditentukan Kerajaan Persekutuan bagi tujuan eksport.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-