Thursday, September 5, 2024

PAS Johor akur Bersatu tanding PRK Mahkota, akan bantu calon menang

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin-05 Sep 2024, 10:00 AM

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin berkata pihaknya tidak akan merayu terhadap keputusan pucuk pimpinan membenarkan Bersatu bertanding pada PRK Mahkota.
Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin berkata tidak timbul soal boikot kerana siapa saja calonnya, mereka tetap dari Perikatan Nasional. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: PAS Johor menegaskan tidak timbul soal boikot kerana mereka akur dengan keputusan pucuk pimpinan membenarkan Bersatu bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRK Mahkota 28 Sept ini.

Pesuruhjayanya, Abdullah Husin berkata PAS Johor tidak akan merayu terhadap keputusan muktamad pucuk pimpinan itu.

Kita dari awal sudah putuskan kita serah kepada pusat buat keputusan akhir dan bila pusat buat keputusan, sudah pasti telah mengambil kira pelbagai faktor, jadi kita terima, kata Abdullah yang juga naib pengerusi PN Johor kepada FMT.

Kita akan bantu menangkan calon PN di PRK Mahkota, tak berbangkit soal boikot ke apa sebab beberapa pilihan raya kita guna lambang PN, jadi siapa saja calon, mereka tetap dari PN.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, PN memutuskan Bersatu akan bertanding pada PRK Mahkota selepas mengambil kira kerusi itu milik Bersatu sebelum ini.

Menurutnya, pengumuman calon dijangka dibuat seminggu sebelum hari penamaan calon pada 14 Sept ini.

PRK Mahkota akan diadakan 28 Sept ini susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

Sharifah Azizah yang juga ketua Wanita Umno Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri itu daripada Pakatan Harapan dengan majoriti 5,166 undi pada PRN Mac 2022.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-