Diterbitkan: Sep 3, 2024 1:54 PM
PAS hari ini menyelar kumpulan antara agama bukan Islam yang membantah cadangan menempatkan pegawai agama Islam di semua jabatan kerajaan.
Menurut Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, bantahan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) itu jelas menunjukkan sikap Islamofobia dan cabaran mereka terhadap Islam.
“PAS mendapati pendirian MCCBCHST mempunyai kesan yang serius, malah merupakan cabaran terhadap hak orang Islam untuk mengamalkan agama mereka dengan bebas, hubungan baik dan keharmonian dalam masyarakat, serta menimbulkan persoalan berkenaan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malah, menurut Takiyuddin, MCCBCHST berselindung di sebalik tafsiran undang-undang yang tersasar, dan mahu menjadi hakim serta pendakwa untuk menentukan amalan orang Islam yang tidak berkaitan dengan kedudukannya.
Katanya, MCCBCHST juga seolah-olah mempersoal kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.
“PAS terkilan dan kecewa atas sikap pendirian mereka yang sengaja menimbulkan suasana tidak harmoni dan permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Rujukan dan tafsiran sumbang undang undang dikemukakan mereka hanya topeng untuk menyembunyikan wajah dan niat sebenar yang lebih gelap dan berbahaya.
“Naratif sumbang dan berbahaya MCCBCHST bukan sahaja dibuat tanpa bukti, malah timbul sebaik sahaja kita menyambut Hari Kebangsaan ke-67,” katanya.
Tambah Takiyuddin, MCCBCHST jelas menunjukkan sikap Islamofobianya berserta naratif sumbang untuk menggambarkan bahawa sebarang langkah dan usaha untuk menambah baik kedudukan dan pengamalan Islam di negara ini merupakan ancaman terhadap hak dan kebebasan orang bukan Islam.
Semalam, kumpulan antara agama bukan Islam itu dalam kenyataan media bersama mereka berkata, tindakan itu berpotensi menjejaskan jaminan perlembagaan termasuk hak asasi yang dilindungi oleh Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas perlembagaan.
Menurut MCCBCHST, penglibatan Jakim dalam penggubalan dasar kerajaan untuk memastikan ia sejajar dengan prinsip Islam adalah dalam ruang awam sedangkan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian.
Selanjutnya, mereka berkata, pencerobohan dalam ruang awam itu mungkin tidak berperlembagaan kerana ia boleh menjejaskan hak asasi yang dijamin kepada semua rakyat negara ini.
Kenyataan MCCBCHST itu ditandatangani bersama oleh presidennya Tan Hoe Chieow, dan naib-naib presidennya, Julian Leow, Chuan Yuan, Ganesh Babu Rao serta Sardar Jagir Singh.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, dalam konteks kebebasan orang Islam untuk mengamalkan agama mereka, sama seperti bantahan terhadap cadangan pindaan Akta 355, MCCBCHST sekali lagi menunjukkan sikap melampau dan angkuhnya untuk campur tangan dalam urusan orang Islam.
Dia juga berkata, MCCBCHST seolah-olah mempersoalkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan serta dukungan undang-undang terhadap ruang lingkup, bidang kuasa serta peranannya dalam pentadbiran negara dan kehidupan awam rakyat.
Sehubungan itu, katanya, PAS menggesa MCCBCHST agar menarik balik kenyataan mereka yang dianggap sebagai tidak berhemah.
“PAS juga percaya MCCBCHST harus kembali kepada peranan asalnya sebagai badan perundingan antara agama dengan tujuan yang murni ke arah persefahaman dan keharmonian hubungan antara kelompok-kelompok agama di Malaysia.
“... dan bukannya menjadi barisan depan atau jurucakap kepada mana-mana kumpulan, aliran atau ideologi politik yang boleh memecahkan kerukunan hidup bersama,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.