Tuesday, October 1, 2024

Dakwaan Bloomberg diyakini kerana sikap membisu PM dalam isu saham Farhash, kata peguam

Malaysia Now
MalaysiaNow
Oktober 1, 2024 8:36 malam

Ia bukan mengenai Anwar Ibrahim, kata Haniff Khatri Abdulla di sebalik tekanan semakin meningkat untuk perdana menteri membersihkan nama.
Farhash Wafa Salvador dilihat aktif dalam dunia korporat sejak pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, mencetuskan pelbagai tanda tanya mengenai janji reformasi dan tadbir urus baik.

Seorang peguam mempersoalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai status laporan berhubung pembelian saham oleh Farhash Wafa Salvador dalam sebuah syarikat yang dikaitkan dengan kontrak lumayan kerajaan, susulan pendedahan mengejutkan oleh Bloomberg bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menghalang siasatan ke atas bekas setiausaha politiknya itu.

Haniff Khatri Abdulla merujuk ketiadaan apa-apa tindakan susulan SPRM, lebih enam bulan selepas laporan difailkan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Isham Jalil.

Isham dalam laporannya berkata pembelian saham oleh Farhash berkemungkinan melanggar undang-undang pasaran modal Malaysia dan proses perolehan kerajaan.

"Kenapa mereka diam? Mac tahun ini sampai sekarang, tak ada kenyataan (mengenai) Sejak perkembangan siasatan," kata Haniff kepada MalaysiaNow.

"Yang ada cuma kenyataan rambang Farhash yang mengatakan dia sudah jual saham itu."

Walaupun kedua-dua SPRM dan Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan Bloomberg itu, ia mengundang reaksi pelbagai pihak yang menggesa Anwar menyaman agensi berita kewangan itu untuk membersihkan namanya.

Dalam laporannya minggu lalu, Bloomberg memetik tiga sumber yang mendakwa Anwar pernah mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki supaya tidak menyiasat Farhash berhubung pembelian saham dalam Heitech Padu Berhad.

Punca kebimbangan ramai ialah syarikat itu disenarai pendek untuk kontrak kerajaan bernilai RM1 bilion bagi pembangunan sistem imigresen baharu.

"Kerusi perdana menteri telah dicemari oleh laporan Bloomberg. Ini bukan soal Anwar Ibrahim tetapi mengenai kerusi perdana menteri."

Farhash, 41, dilantik sebagai pengerusi 7-Eleven Malaysia milik taikun Vincent Tan, hanya lima minggu selepas Anwar mengambil alih kerajaan.

Mac lalu, bekas pengerusi PKR Perak itu membeli 15.91% pegangan dalam HeiTech Padu melalui syarikatnya Rosetta Partners Sdn Bhd.

Rosetta Partners ialah anak syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd, firma yang dimiliki Farhash bersama Sultan Kelantan, Muhammad V.

Sehari selepas pembelian itu, HeiTech Padu dilanjutkan kontrak menyelia Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bernilai lebih RM13 juta.

Pada 15 April, syarikat itu diberikan kontrak daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernilai RM190 juta, disusuli Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mencabar pengkritik melaporkan kepada SPRM.

Tiga hari kemudian, Farhash dilaporkan tidak lagi pemegang saham terbesar Heitech Padu susulan perubahan struktur Mfivesouthsea Sdn Bhd.

Bulan lalu, Heitech sekali lagi menjadi perhatian apabila diberikan satu lagi kontrak JPJ bernilai RM133.73 juta.
Haniff Khatri Abdulla
Haniff berkata isu utama bukan sama ada Farhash sudah melepaskan pegangan sahamnya, tetapi sama ada pembelian itu mengandungi unsur "insider trading", situasi di mana seseorang kedudukannya atau sumber dalaman dibekalkan maklumat mengenai syarikat yang boleh memberi kesan kepada harga saham.

"Adakah dia dapat maklumat daripada sumber kerajaan yang membolehkan dia tahu syarikat itu nak dapat kontrak?" soal Haniff.

Beliau memberikan analogi seorang perogol yang mengahwini mangsanya bagi menghalalkan jenayah itu.

Menurutnya, pembelian saham itu masih perlu disiasat bagi menghapuskan sebarang keraguan.

Haniff berkata selain SPRM, polis dan Suruhanjaya Sekuriti (SC), badan yang mengawal selia pasaran modal Malaysia, juga membisu.

Begitu juga Anwar, yang menurutnya masih belum menunaikan janjinya memberikan penjelasan.

Sebelum ini, Anwar berkata akan menyemak dengan Perbendaharaan mengenai butiran pembelian saham melibatkan orang kuatnya itu.

Haniff berkata isu Heitech menjadi punya orang ramai tidak meragui dakwaan Bloomberg.

"Selepas enam bulan, tak ada kenyataan Anwar (mengenai pembelian saham oleh Farhash)."

Haniff berkata adalah penting bagi Anwar membersihkan bukan sahaja namanya tetapi juga imej kerajaan dengan menyangkal dakwaan Bloomberg dalam mahkamah.

"Kerusi perdana menteri telah dicemari oleh laporan Bloomberg. Ini bukan soal Anwar Ibrahim tetapi mengenai kerusi perdana menteri.

"Kalau beliau tidak saman, maka sepatutnya polis menyiasat SPRM dan Anwar."

Semalam, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin membuat laporan polis menggesa Anwar disiasat atas salah guna kuasa.

Ia berdasarkan laporan Bloomberg yang sama yang mengatakan perdana menteri mengarahkan Azam untuk menyiasat Daim dan Dr Mahathir Mohamad, kedua-duanya musuh politik Anwar.

"Di bawah Perlembagaan Persekutuan kita, seorang perdana menteri tertakluk kepada undang-undang sama seperti orang lain," menurut laporan polis dibuat isteri Daim, Naimah Khalid di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya semalam.

Haniff berkata kegagalan Anwar membawa perkara itu ke mahkamah dikhuatiri akan ditafsirkan sebagai pengakuan terhadap dakwaan yang terkandung dalam laporan Bloomberg.

"Selagi anda tak ambil tindakan, selagi itu anda membenarkan pihak media terutamanya media antarabangsa untuk membuat dakwaan yang mungkin palsu dan mencemarkan nama negara kita."

Beliau berkata kenyataan penafian atau jawapan Parlimen tidak mencukupi untuk membersihkan namanya.

"Yang lebih baik daripada kenyataan penafian adalah tindakan undang-undang sebab (ini) kali kedua," katanya merujuk kepada satu lagi laporan Bloomberg yang mendakwa Anwar berbincang dengan taikun mengenai cadangan membina kasino di Forest City, Johor.

Walaupun Anwar menafikan dakwaan itu, beliau tidak mengambil tindakan undang-undang untuk membersihkan namanya.


MalaysiaNow telah menghubungi Farhash untuk mendapatkan maklum balas, selain SPRM dan Suruhanjaya Sekuriti.

Anwar dalam pada itu mengelak wartawan yang cuba menyoalnya mengenai isu itu ketika hadir di sebuah majlis di Kuala Lumpur hari ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-