Tuesday, October 1, 2024

Inilah Umno sekarang, nama sahaja Umno tetapi…

harakahdaily.net
October 1, 2024
Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) menyuarakan kebimbangannya terhadap hala tuju Umno yang kini dilihat sudah jauh menyimpang daripada matlamat asal perjuangannya.

Menurut beliau, parti itu yang dahulu ditubuhkan untuk melawan cadangan Malayan Union dan mempertahankan Tanah Melayu kini hanya berjuang untuk kepentingan peribadi dan ganjaran material.

Dalam satu kenyataan bertajuk ‘Erti Perjuangan’, beliau menjelaskan bahawa Umno pada awalnya dibentuk sebagai satu gerakan yang bersatu demi mempertahankan hak orang Melayu dan melawan penjajahan British.

“Umno ditubuh sebagai jentera untuk melawan cadangan Malayan Union British. Cadangan itu akan menghapuskan Tanah Melayu sebagai tanah milik orang Melayu. British akan terima siapa sahaja sebagai warganegara, dan dengan itu, Malayan Union tidak lagi menjadi negara orang Melayu,” ujar beliau.

Beliau menambah, ahli dan pemimpin Umno pada ketika itu tidak menyertai parti tersebut untuk mencari kekayaan, sebaliknya mereka berjuang demi bangsa, negara, dan agama.

Katanya, ahli dan pemimpin Umno pada ketika itu sanggup berkorban demi memastikan Tanah Melayu kekal dimiliki orang Melayu dan akhirnya berjaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Namun, Tun M menyatakan rasa kecewanya apabila melihat perjuangan Umno hari ini sudah berubah sepenuhnya.

Baginya, pemimpin dan ahli Umno kini lebih mementingkan ganjaran kewangan daripada kepentingan bangsa dan negara.

“Perjuangan ahli dan pemimpin sekarang ialah untuk mendapat ganjaran. Biarlah tanah pusaka ini tidak lagi dimiliki oleh orang Melayu asalkan ahli Umno dapat RM30,800 sebulan sebagai Ahli Dewan. Yang penting hanyalah duit,” tegasnya.

Tun M turut menyindir pemimpin-pemimpin Umno yang sanggup menyokong dasar-dasar yang bertentangan dengan perjuangan parti, malah bersekongkol dengan pihak yang dianggap sebagai musuh parti, asalkan mereka mendapat keuntungan peribadi.

“Inilah Umno sekarang. Nama sahaja Umno, tetapi perjuangan bukan untuk bangsa, negara dan agama. Kalau perlu khianati bangsa, tidak mengapa asalkan dapat duit,” kata beliau.

Tun M turut menyentuh mengenai kejatuhan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), di mana parti itu hanya memenangi 26 kerusi, jauh berbeza daripada kemenangan besar 80 hingga 90 kerusi pada masa lampau.

“Apa perjuangan 26 wakil rakyat ini? Tanyalah diri sendiri,” ujar beliau dengan persoalan yang tajam. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-