Tuesday, October 1, 2024

Gerakan tiada tempat, kredibiliti kritik PN, kata pemimpin Bersatu

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
01 Oct 2024

Mahathir Rais berkata parti pimpinan Dominic Lau itu tidak banyak menyumbang kepada kejayaan PN selama ini.
Presiden Gerakan Dominic Lau (dua kanan) berkata kajian mendalam mengenai trend pengundian Melayu akan membantu PN bersiap sedia menghadapi PRU16. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu mempersoalkan gesaan Gerakan supaya gabungan pembangkang mengkaji secara mendalam peralihan undi Melayu kepada Umno dalam PRK baru-baru ini, dengan berkata sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) itu tiada kredibiliti.

Mahathir Rais berkata, Gerakan gagal memperoleh asas pengundi yang kukuh, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina, dan hampir tidak melakukan sebarang usaha untuk membina semula parti, termasuk menawan kembali kerusi yang terlepas di Pulau Pinang.

Katanya, Gerakan juga secara konsisten diketepikan dalam politik negara.

“Adakah Gerakan, sebuah parti yang telah merosot selama lebih sedekad, mempunyai sebarang tempat untuk mengkritik rakan gabungannya?

Dan adakah Gerakan mempunyai kredibiliti untuk bercakap tentang trend mengundi Melayu sedangkan ia sendiri sukar kekal relevan dalam mana-mana demografik pengundi? soal setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan dalam kenyataan.

Mahathir berkata demikian sebagai respons terhadap cadangan Presiden Gerakan Dominic Lau bahawa kajian mendalam akan membantu PN bersiap sedia berdepan PRU16, terutama berdepan peningkatan kebarangkalian wujud gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang lebih padu.

Mahathir menganggap gesaan Lau supaya PN mengkaji peralihan undi Melayu sesuatu yang aneh kerana ia tidak banyak menyumbang kepada kejayaan pembangkang.

Katanya, Gerakan tidak memegang mana-mana kerusi Parlimen mahupun mencapai sebarang kejayaan penting pada pilihan raya. Malah, keputusan parti itu meninggalkan BN tidak mencetuskan sebarang kebangkitan mahupun memberikan rangsangan yang PN perlukan.

Menurutnya, sokongan akar umbi dan jentera pilihan raya Gerakan lemah jika dibandingkan dengan Bersatu dan PAS.

Jika Gerakan tidak menonjol dalam PN, apa haknya untuk kritik prestasi gabungan ini?

Mahathir menuduh Lau terlalu meremehkan isu kompleks undi Melayu, yang menurutnya tidak boleh dikategorikan dengan mudah.

Tingkah laku mengundi, katanya, berbeza di setiap wilayah dan kawasan, dipengaruhi oleh isu tempatan, kekuatan calon dan kawalan kerajaan negeri.

Fokus sempit Gerakan terhadap kekalahan (PN) baru-baru ini mengabaikan hakikat bahawa pengundi Melayu selama ini memang berpecah-belah, katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-