Friday, October 25, 2024

Guan Eng malukan Umno di Dewan Rakyat

harakahdaily.net
October 25, 2024
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR: “Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng tidak sepatutnya memalukan pihak Umno dengan mengatakan menteri Umno kurang bantu sikit,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Dalam satu klip video dimuat naik di Facebook, beliau berkata, Guan Eng tidak sepatutnya membangkitkan perkara itu secara terbuka di ruang perbahasan Dewan Rakyat.

Katanya, dalam perbahasan Belanjawan 2025 kelmarin, Guan Eng berterima kasih kepada barisan menteri kerajaan perpaduan yang turun membantu mangsa banjir di Pulau Pinang dan kawasan Parlimennya, namun secara sinis berkata ‘menteri Umno kurang bantu sikit’.

“Terima kasih kepada menteri-menteri yang telah menolong bukan negeri saya sahaja, Pulau Pinang tetapi juga kawasan Parlimen saya.

“Bermula dengan perdana menteri, menteri-menteri DAP, dan juga menteri dari GPS, GRS dan UPKO, dan menteri ekonomi juga.

“Kecuali Umno kurang sikit, mungkin masa depan boleh tambah banyak…kita harapkan begitu,” ujar Guan Eng.

Tambah Fadhli lagi, beliau tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan oleh Guan Eng bahawa menteri Umno kurang sikit membantu.

“Kalau nak kata kepada Umno pun janganlah disebut terang-terang dalam dewan YB (Lim), kesian kat kawan-kawan kami dalam Umno,” katanya.

Katanya lagi, pemimpin DAP itu tidak wajar mempersenda Umno secara terbuka, ketika parti Melayu tersebut telah ‘berkorban’ bekerjasama dengan DAP untuk bersama dalam kerajaan perpaduan.

“Jadi tak perlulah malukan mereka secara terang-terangan. Kalau saya jadi Umno saya takkan biarkan orang kata kat kita terang-terang macam ini.

“Tak tahulah kawan-kawan dalam Umno tinggi kesabaran mereka,” katanya. 

HARAKAHDAILY 25/10/2024

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-