Friday, October 25, 2024

Kibar bendera China: 'Kenakan tindakan tegas kepada penganjur' - Dr Akmal

bharian.com.my
Oleh Amir Mamat 
bhnews@bh.com.my
- Oktober 25, 2024 
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh. - Foto fail NSTP

MELAKA: Pemuda UMNO mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan segera ke atas insiden pengibaran bendera China ketika perarakan di Menara Condong Teluk Intan, Perak, malam tadi.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata ini kerana insiden itu jelas mengguris sensitiviti rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau mengarahkan Pemuda UMNO di semua peringkat di Perak supaya membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan segera diambil kepada penganjur perhimpunan terbabit.

"Buat perarakan di tempat awam, sudahlah tiada permit (berhimpun), kibar pula bendera China. Tiada satu pun bendera Malaysia.

"Sebelum ini sudah berlaku dalam sekolah (kehadiran tentera laut China), hari ini bawa bendera China berarak di luar pula (sehingga) Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong selaku penganjur perarakan itu meminta maaf.

"Cukup-cukuplah minta maaf dan hari ini saya mengarahkan seluruh Pemuda UMNO di Perak untuk membuat laporan polis dan menjalankan siasatan serta mengenakan hukum keras kepada mereka," katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosialnya hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Jasin itu turut meminta kerajaan memandang serius insiden berkenaan dan mengambil tindakan tegas sebagai peringatan kepada semua pihak supaya menjaga sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.

"Tolonglah, jangan dah buat kemudian minta maaf, orang dah muak dan bosan. Cukup-cukuplah asyik kita saja yang bersabar," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, beberapa pihak termasuk parti politik menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden tular bendera China dikibarkan di Menara Condong Teluk Intan.

Perkara itu didakwa menyalahi Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 iaitu tiada seorang pun boleh mempamer mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau di sekolah.

Justeru, tindakan terbabit boleh dianggap sebagai satu provokasi yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negara.

Susulan itu, Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua yang juga penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia, memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China itu.

Beliau dilaporkan berkata, perbuatan itu dilakukan rombongan yang berasal dari China dan tidak membabitkan warga Malaysia, malah tindakan mengibarkan bendera negara asing tidak sesekali dirancang dalam tentatif oleh pihak pengelola.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-