Friday, October 25, 2024

Bendera China dikibar di Teluk Intan: Penganjur mohon maaf

bharian.com.my
Oleh Muhamad Lokman Khairi
bhnews@bh.com.my
 - Oktober 25, 2024 @ 1:09pm
Laporan BH online.

TELUK INTAN: Penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia, memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China ketika perarakan di Menara Condong Teluk Intan, di sini, malam tadi.

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua, berkata perbuatan itu dilakukan rombongan yang berasal dari China dan tidak membabitkan warga Malaysia.

Beliau berkata, tindakan mengibarkan bendera negara asing tidak sesekali dirancang dalam tentatif oleh pihak pengelola.

"Sambutan Guan Gong Sedunia adalah program yang sudah berlangsung beberapa tahun dan dianjurkan dari Johor ke Kedah, dan Perak adalah salah satu stesen yang terbabit.

"Dalam setiap program sambutan ini di pelbagai negeri, pihak pengelola akan mengibarkan bendara Malaysia iaitu Jalur Gemilang sebagai simbol patriotisme. Perarakan dan sambutan di Teluk Intan adalah tidak terkecuali daripada itu.

"Sebagai pihak pengelola, saya sekali lagi memohon maaf atas insiden itu dan akan meneliti segala aspek yang perlu diperbaiki demi menjayakan program," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Pengakuan Boon Hua itu sekali gus menepis dakwaan insiden terbabit berlaku ketika Pesta Tanglung Teluk Intan yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, bulan lalu.
Sekumpulan individu dilihat mengibarkan bendera China pada Sambutan Guan Gong di Menara Condong Teluk Intan, malam tadi. - Foto tular.
Terdahulu, media melaporkan PAS Perak menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden tular bendera China dikibarkan di Menara Condong Teluk Intan.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Razman Zakaria mendakwa, perkara itu menyalahi Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 iaitu tiada seorang pun boleh mempamer mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau di sekolah.

Justeru, beliau menyifatkan tindakan terbabit boleh dianggap sebagai satu tindakan provokasi yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negara.

Beberapa video tular di media sosial hari ini memaparkan sekumpulan individu dilihat mengibarkan bendera China di kawasan berhampiran Dataran Menara Condong Teluk Intan pada waktu malam sambil bersorak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-