Showing posts with label Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Show all posts
Showing posts with label Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Show all posts

Friday, October 4, 2024

Hampir 2,000 mangsa banjir Selangor dipindahkan ke 6 PPS

bharian.com.my
Oleh Austin Camoens
bhnews@bh.com.my
 - Oktober 4, 2024 @ 11:28am
Gambar hiasan

SUNGAI BULOH: Hampir 2,000 mangsa membabitkan 480 keluarga dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir yang berlaku di tiga daerah di negeri ini bermula malam tadi.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata tiga daerah terbabit ialah Gombak, Shah Alam dan Kuala Selangor.

Beliau berkata, mangsa banjir berkenaan di tempatkan di PPS Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seri Pagi, Paya Jaras; Dewan Kenanga; Dewan MBSA Bunga Matahari; Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Seri Kundang; Sekolah Rendah Agama Kuang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman.

"Setakat ini, enam PPS dibuka dengan sejumlah 480 keluarga sudah dipindahkan.

"Jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan di PPS ketika ini ialah 1,968 orang," katanya.

Ahmad Mukhlis berkata, seramai 54 anggota daripada enam balai bomba iaitu Sungai Buloh, Bestari Jaya, Selayang, Batu Arang, Dengkil dan Bukit Jelutong terbabit dalam operasi berkenaan.

"Balai Bomba Sungai Buloh akan memantau Kampung Kubu Gajah, Merbau Sempah dan Kampung Cempedak, Kuang, manakala Balai Bomba Bukit Jelutong melihat perkembangan semasa sekitar Kampung Melayu Subang dan Jalan Tembusu.

"Balai Bomba Bestari Jaya dan Dengkil pula akan memantau kawasan Kampung Sri Aman, Taman Saujana Aman, Kampung Parit Mahang, Sungai Buah, Jambatan Sekolah Vokasional, Revolusi Hijau dan Pasar Dengkil.

"Selain itu, Balai Bomba Selayang dan Batu Arang akan memantau Kampung Selayang Baru, Kampung Laksamana, Indian Settlement, Taman Rahmat Jaya Kundang, Lorong Utama 1, Lorong Setia 7, Kampung Melayu Sri Kundang, Lorong Haji Talib, Kampung Gombak dan Kampung Bunga Raya, " katanya.

Saturday, August 31, 2024

[VIDEO] Satu pasukan bomba keluar baris, bergambar dengan UAI

kosmo.com.my
Oleh KOSMO!
31 Ogos 2024, 6:10 pm
Tangkap layar kejadian tersebut yang tular di TikTok hari ini.
PETALING JAYA – Seperti dua tahun sudah, kehangatan sambutan Hari Merdeka di Terengganu telah diserikan dengan kehadiran penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang sering mencuri tumpuan orang ramai.

Jika tahuN lalu, beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) cawangan Terengganu keluar baris untuk mengambil gambar bersama penceramah itu, namun kali ini satu pasukan perbarisan keluar baris untuk bersama-sama dengan Azhar.

Menerusi atu perkongsian klip video orang awam ketika perbarisan sambutan Hari Merdeka di Kuala Terengganu pagi tadi, kelihatan Azhar dikerumuni pasukan penyelamat itu beramai-ramai.

Orang ramai juga tidak melepaskan peluang mereka untuk bersama turut serta dalam kemeriahan itu dan ada juga yang menyifatkan Azhar sebagai seorang penceramah yang mampu menarik rang ramai bagi meminati Islam.

“Lain aura Ustaz Azhar, dekat mana-mana pun orang akan salam dan bergambar dengan dia,” kata Fadhlizham.

“Tahun lepas lima ke enam orang sahaja anggota yang keluar baris, kali ini satu pasukan keluar untuk bergambar dengan Ustaz. Padu UAI,” kata Farah Nadia.

“Ini kemeriahan di Terengganu, memang UAI akan sambut sekali dengan orang ramai, duduk pun bersila di jalan raya.

“Tapi beliau tetap dikenali, di mana sahaja dia akan ada orang minta bergambar dan bersalaman,” kata Fizi Bano. – KOSMO! ONLINE.

Tuesday, April 23, 2024

Helikopter terhempas: 10 dilaporkan terkorban

hmetro.com.my
Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my
HELIKOPTER terhempas ketika latihan di Pangkalan TLDM Lumut.

Kuala Lumpur: Seramai 10 orang dilaporkan terkorban selepas dua helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertembung dalam kejadian di Kem Tenteral Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, hari ini.

Kedua-dua helikopter terbabit berlepas dari padang Sitiawan, Perak pada jam 9.03 pagi tadi sebelum bertembung di udara.

Pesawat HOM (M503-3) yang membawa tujuh kru terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas di kolam renang Komplek Sukan TLDM Lumut.

Helikopter berkenaan dipercayai sedang menjalani latihan.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kejadian 9.50 pagi sebelum dua jentera dikejarkan ke lokasi.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman ketika dihubungi memaklumkan Menteri Pertahanan akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian itu.

Dua helikopter terhempas selepas berlanggar di udara
Disiarkan pada: April 23, 2024 @ 11:12am

Wednesday, November 28, 2018

Dakwaan tidak berasas - KP Bomba

Oleh Fazrik Kamarudin
cnews@nstp.com.my

MOHAMMAD Hamdan Wahid mengadakan sidang media selepas melawat Muhammad Adib yang kini dirawat di Institut Jantung Negara. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyifatkan dakwaan bahawa anggotanya, Muhammad Adib Mohd Kassim cedera akibat dilanggar jentera bomba adalah tidak berasas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid, menegaskan pihak yang tiada di tempat kejadian tidak seharusnya membuat tuduhan yang tidak betul.

“Adakah pihak yang membuat dakwaan itu mempunyai bukti mengatakan Muhammad Adib dilanggar? Lapan anggota kita ada di situ, mereka tahu apa yang terjadi.

“Ingin saya tegaskan di sini, perkara ini masih dalam siasatan polis dan saya tidak mahu mengganggu siasatan, pihak bomba beri kerjasama yang baik tetapi kita jangan buat kenyataan yang tidak berasas ibarat menegakkan benang yang basah.

“Anggota bomba yang didakwa dilanggar dalam video yang tular itu bukan Muhammad Adib, malah anggota itu, Mohd Hazim Mohd Rahimi ada bersama kita sekarang dan beliau langsung tidak dilanggar jentera kita,” katanya dalam sidang media di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, hari ini.

Hamdan berkata, pihaknya juga akan membuat laporan polis berhubung dakwaan itu dengan segera.

Mengulas mengenai keadaan Muhammad Adib, beliau berkata pihaknya percaya IJN mencuba sedaya upaya untuk meningkatkan kestabilan anggota bomba itu ke peringkat lebih baik.

Sementara itu, Mohd Hazim menafikan anggota bomba yang didakwa dilanggar jentera adalah Muhammad Adib.

“Saya yang berada di belakang jentera berkenaan untuk mengeluarkan peralatan memadam kebakaran memandangkan saya berada paling dekat untuk mengeluarkannya.

“Kemudian saya ternampak perusuh datang ke arah saya dan saya terus melarikan diri ke arah EMRS dan disalah tafsir sebagai Adib, saya tidak dilanggar, saya panik dan tidak ingat apa-apa selepas itu,” katanya.


Terdahulu, Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman mendakwa Muhammad Adib cedera akibat kemalangan di lokasi kejadian, bukan dipukul.

Setiausaha Badan Bertindak Kuil, V K Regu mendakwa, kejadian dipercayai berlaku apabila jentera bomba mengundurkan kenderaannya dengan laju sebelum sekumpulan individu menjerit memberitahu ada seseorang di belakang.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-