Wednesday, October 23, 2024

Nama Najib dipetik: Hati-hati gubal RUU tahanan rumah, kata Rayer

malaysiakini.com
Ili Aqilah & Alyaa Alhadjri & N Faizal Ghazali
Diterbitkan: Oct 23, 2024 8:40 PM
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, menggesa kerajaan supaya berhati-hati dalam merangka undang-undang baru yang membenarkan “tahanan rumah” sebagai hukuman alternatif untuk kesalahan tertentu.

Dalam ucapannya di Dewan Rakyat hari ini, ahli parlimen DAP itu mendakwa spekulasi orang ramai semakin meningkat bahawa rang undang-undang tersebut dirangka untuk tahanan tertentu.

"Saya tidak mahu menyatakan nama tetapi nama Najib Razak diulangi beberapa kali.

"Saya sebagai backbencher (penyokong kerajaan) hanya ingin menyuruh kerajaan supaya waspada dengan cadangan atau rang undang-undang atau akta tahanan rumah ini kerana rang undang-undang akta tahanan rumah ini sudah memulakan banyak polemik di luar sana,” katanya.
Cadangan undang-undang baru untuk memudahkan tahanan rumah disebut dalam teks rasmi ucapan Bajet 2025 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim walaupun bahagian tersebut tidak dibacakan ketika Anwar membentangkan bajet pada hari Jumaat.

Pesalah dicadangkan akan dikurung di lokasi yang sesuai - seperti kediaman, rumah penjagaan, atau asrama pekerja - di bawah syarat-syarat tertentu yang diawasi oleh Jabatan Penjara.

Sejak itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata terdapat kira-kira 20,000 banduan yang mungkin layak untuk tahanan rumah, iaitu pesalah kali pertama yang tidak melakukan jenayah berat, wanita hamil, warga emas dan orang kurang upaya.

Sementara itu, Rayer menekankan keperluan garis panduan yang jelas mengenai siapa yang layak untuk tahanan rumah di bawah rang undang-undang baru itu.

"Kalau kerajaan ingin mengambil pendekatan Bahawa hanya orang-orang tertentu Saja yang layak ditahan di rumah Perkara ini perlu dijelaskan dengan lebih teliti dan jelas mengenai siapa yang layak untuk ditahan atau menjalani tempoh pemenjaraan di rumah

"Kerana kita tidak mahu perbezaan di antara dua darjat berlaku di negara kita lagi,” kata Rayer lagi.

Isu “tahanan rumah” mencetuskan perdebatan awal tahun ini apabila Najib mendakwa Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah telah memberi pengampunan kepadanya.

Bekas perdana menteri itu sedang menjalani hukuman penjara enam tahun untuk kes SRC International dan berdepan dengan pertarungan undang-undang tambahan yang berkaitan dengan skandal mega 1MDB.

[Baca berita asal]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-