Thursday, October 17, 2024

Pemilihan BERSATU dedah wujud kem tidak 'sebulu' Muhyiddin

bharian.com.my
Oleh Dr Mohammad Tawfik Yaakub
bhrencana@bh.com.my
Oktober 17, 2024 
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BERSATU ketika ini sedang diselubungi aura pemilihan parti yang bakal menentukan penyandang bagi beberapa jawatan tertinggi parti itu. Antara jawatan yang menyaksikan persaingan sengit ialah Naib Presiden, Ketua Armada dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Menariknya pada pemilihan kali ini, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengemukakan 'pelan kompromi' dan direstui MPT bertujuan mengelakkan perpecahan dalaman parti.

Tumpuan utama pemilihan kali ini membabitkan tiga jawatan Naib Presiden dan difahamkan restu diberikan kepada tiga pemimpin kanan iaitu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin akan mempertahankan jawatan manakala Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut bercita-cita merebut kedudukan berkenaan.

Namun dua lagi ahli MPT, Datuk Razali Idris dan Timbalan Ketua BERSATU Selangor, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Mohd Rafiq Mohd Abdullah mengambil tindakan mengejutkan apabila turut menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan kali ini.

Menurut salah seorang ahli MPT yang juga Ketua Armada iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, tindakan kedua-dua ahli MPT terbabit mengecewakan Muhyiddin kerana tidak akur dengan pelan kompromi dan petua Presiden bagi mewujudkan pemilihan harmoni.

Perkembangan terbaharu ini menunjukkan wujud kem antara kumpulan Hamzah dan Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mula menonjolkan diri untuk bersaing merebut jawatan utama dalam BERSATU.

Berdasarkan kepada angin politik semasa dalam BERSATU, dua calon penyandang iaitu Ronald dan Mohd Radzi tidak mempunyai masalah mengekalkan kedudukan mereka sebagai Naib Presiden, namun peluang Ahmad Faizal untuk memenangi jawatan Naib Presiden mula tergugat apabila terdapat ahli MPT sendiri 'menderhaka' petua Muhyiddin.

Berbanding Ahmad Faizal dan Mohd Rafiq, Razali mempunyai kelebihan selaku Ketua Penerangan kerana hubungan beliau yang rapat dengan kepemimpinan dan akar umbi. Justeru Razali dilihat lebih menonjol dan berpotensi mengisi kerusi Naib Presiden sekali gus mengenepikan Ahmad Faizal untuk memenangi jawatan berkenaan.

Peluang Ahmad Faizal untuk kekal sebagai pemimpin peringkat nasional semakin sukar sekiranya beliau tewas dalam pemilihan Naib Presiden dan tidak mustahil beliau menjadi 'korban politik' terperangkap untuk membuka laluan kepada Hamzah bagi mendaki hiraki tertinggi dalam kepemimpinan parti.

Oleh demikian, kepemimpinan BERSATU perlu mengakui pemilihan kali ini sebenarnya mengundang perpecahan serius dan mampu merencatkan persediaan serta momentum parti untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam tempoh terdekat.

Mungkin umum tidak begitu menyedari hal ini. BERSATU hari ini seolah-olah seorang pesakit sedang bersabung nyawa pada waktu kritikal disebabkan pelbagai komplikasi 'penyakit politik' selepas gagal membentuk kerajaan pasca PRU15.

Antara 'penyakit politik' awal merebak sehingga melemahkan parti itu bermula dengan pemecatan pemimpin utama parti seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Dr Maszlee Malik dan Syed Saddiq Abdul Rahman pada 2020.

Ia disusuli pengumuman keluar parti diketuai Ketua BERSATU Sabah ketika itu, Datuk Seri Hajiji Noor bersama 14 ADUN dan lima Ahli Parlimen pada Disember 2022 untuk membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyertai Kerajaan Perpaduan.

Jun lalu, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN di Selangor digugurkan keahlian kerana menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di samping itu, BERSATU juga tewas dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, DUN Nenggiri dan dimalukan dengan kekalahan besar di DUN Mahkota dengan majoriti 20,648 undi kepada calon UMNO/Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Siri kekalahan dialami BERSATU sebenarnya berpunca daripada kegagalan mewujudkan ahli akar umbi kuat seperti parti lain khasnya UMNO dan PAS. Keadaan ini sebenarnya menyukarkan pembentukan jentera politik kuat untuk berhadapan dengan mana-mana pilihan raya sehingga menyebabkan parti perlu meminjam jentera dan calon daripada PAS.

Kenapa keadaan ini berlaku kepada BERSATU. Hal ini berpunca daripada matlamat penubuhannya yang sekadar menjadi platform kedua kepada orang Melayu menggantikan UMNO dan parti tidak mempunyai roh perjuangan tulen seperti UMNO serta PAS semenjak sebelum merdeka.

BERSATU juga dibentuk berdasarkan kekuatan palsu dicipta pemimpin keluar meninggalkan parti, dipecat dan kecewa sama ada dari UMNO, PAS dan PKR.

Tidak mengejutkan satu hari nanti BERSATU juga akan mengalami nasib sama dengan parti serpihan Melayu lain sebelum ini Parti Melayu Semangat 46, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) serta Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) sekiranya gagal melaksanakan pembaharuan politik.

Pembaharuan segera perlu dilakukan parti menerusi beberapa tindakan iaitu pertama, Muhyiddin perlu berundur sebagai Presiden bagi memberi peluang kepada pemimpin pelapis mewujudkan kesegaran idea baharu dalam parti.

Kedua, persepsi BERSATU adalah platform kedua orang Melayu menggantikan UMNO perlu dihapuskan kerana ahli parti perlu mempunyai genetik DNA baharu bukan sekadar menerima ahli parti lain untuk memperluaskan keanggotaannya.

BERSATU perlu mempertimbangkan sekatan terhadap bekas ahli parti lain untuk menyertai partinya dan merekrut lebih ramai ahli tidak pernah menganggotai mana-mana parti sebelum ini.

Ketiga, parti perlu berani bertanding atas simbol, calon dan jentera sendiri berbanding berselindung dengan kekuatan parti lain atas payung Perikatan Nasional (PN) ketika bertanding dalam pilihan raya bagi memastikan orang Melayu dan penyokong kaum lain dapat mengenali lebih dekat parti berkenaan.

Masa depan BERSATU hanya bergantung kepada iltizam politik pemimpinnya, jika pemimpin berani membuat perubahan drastik sebelum PRU16, parti ini akan relevan dalam kalangan orang Melayu.

Akan tetapi jika pemimpinnya masih berhempas pulas menjaga jawatan masing-masing tanpa mengendahkan masa depan parti itu, maka tidak mustahil parti ini boleh terkubur seperti parti berteraskan Melayu dan Islam lain.

Penulis iala Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-