Wednesday, October 2, 2024

Pemuda Umno Johor kecewakan semua orang Cina, kata Tiong

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 2, 2024 
Parti Demokratik Progresif (PDP) menyifatkan Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros, sebagai tidak tahu bersyukur apabila memperkecilkan sumbangan pengundi Cina dalam PRK DUN Mahkota baru-baru ini.

Merujuk kepada pepatah Cina, Presiden PDP Tiong King Sing berkata pemimpin Pemuda Umno Johor itu boleh diibaratkan sebagai "memusnahkan jambatan selepas menyeberangi sungai".

Dengan bergantung kepada data yang tidak berasas, katanya, Noor Azleen memperlekehkan sumbangan undi masyarakat Cina dalam pilihan raya kecil tersebut ketika sepatutnya ahli politik terbabit mengucapkan terima kasih kepada mereka.

"Perubahan sikapnya yang begitu cepat mengecewakan seluruh masyarakat Cina," katanya dalam satu kenyataan berbahasa Cina hari ini.

BN menang bergaya dalam PRK Mahkota pada Sabtu lalu apabila mengenalkan kerusi DUN tersebut dengan majoriti 20,609 undi, atau empat kali ganda berbanding dicatat parti itu ketika pilihan raya negeri lebih dua tahun lalu.

Untuk rekod semasa PRN Johor diadakan, kerajaan perpaduan belum dibentuk dan BN bersaing dengan PH serta PN bagi merebut 56 kerusi yang dipertandingkan.
Noor Azleen Ambros
Selepas berakhirnya PRK Mahkota, beberapa pemimpin Umno termasuk Noor Azleen dilaporkan mempersoalkan sumbangan DAP dengan berkata hanya 34 hingga 36 peratus sahaja pengundi Cina di DUN itu membuang undi.

Analisis lain - termasuk oleh ketua DAP Johor Liew Chin Tong - bagaimanapun meletakkan anggaran antara 43 dan 49 peratus.

Tiong pula mendakwa jumlah pengundi Cina yang keluar pada Sabtu ialah sekitar 53.6 peratus dan mendakwa Noor Azleen lemah dalam membuat penyelidikan.

"Saya pun hairan, dari mana dia dapat data kononnya pengundi Cina hanya 34 hingga 36 peratus? Tidakkah dia berfikir dengan teliti?

"Jika peratusan keluar mengundi Cina begitu rendah, bagaimana Syed Hussien Syed Abdullah berjaya menang dengan jumlah majoriti (besar)?

“Malah peratusan keluar mengundi Cina pada PRK Mahkota ialah 53.6 peratus, manakala peratusan keluar mengundi Melayu 56.6 peratus,” katanya.

Sikap angkuh, jahil

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu menambah kegagalan Noor Azleen melakukan pemeriksaan fakta asas adalah melucukan, mengecewakan dan memalukan.

Katanya pentadbiran kerajaan Madani memberi perhatian serius kepada perjalanan kempen PRK DUN Mahkota baru-baru ini walaupun berbeza latar belakang kaum dan parti.

Katanya, pemimpin daripada pelbagai parti dilihat turut mengetepikan perbezaan mereka dan mengambil bahagian secara aktif dalam siri kempen yang berlangsung untuk mencapai matlamat bersama.

Kata Tiong, dia sendiri tidak terkecuali terlibat dalam siri kempen di Mahkota.

Justeru, katanya, apabila BN menang, ia sepatutnya menjadi detik untuk semua pihak meraikan kejayaan tersebut.

"Namun komen daripada Ketua Pemuda Umno Johor itu seperti mencurahkan air sejuk ke atas api.

"Kenyataannya bertentangan dengan cita-cita kerajaan perpaduan dan nampaknya secara khusus menyasarkan masyarakat Cina.

"Sekiranya Noor Azleen benar-benar ada kapasiti dan tanggungjawab politik, beliau harus memohon maaf kepada masyarakat Cina atas keangkuhan dan kejahilan itu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-