Thursday, October 17, 2024

Puad kenapa? PAS tiada pun sebut Umno ‘berkudis’

harakahdaily.net
October 17, 2024
Ahmad Fadhli dan Mohd Puad

KUALA LUMPUR: Tiada pihak dari PAS yang menyebut Umno ‘berkudis’ apabila adik Presiden Umno, Datuk Abdul Hakim Hamidi, menyertai PAS, kerana ia hanya satu pengumuman biasa tanpa majlis besar.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi pula kelihatan tergesa-gesa menafikan ‘berkudisnya’ Umno, walaupun isu itu tidak dibangkitkan secara serius oleh pihak lain.

“Kenapa Datuk Mohd Puad Zarkashi kalut sangat menafikan ‘berkudisnya’ Umno bila Datuk Abdul Hakim Hamidi sertai PAS? Biarkan sahajalah.

“Atau Datuk nak kata individu ini sebelum ini jadi ‘kudis’ kepada Umno? Jika sebelum ini ia ‘kudis’ di dalam Umno, sempatkah kudis itu berjangkit?

“Jika ia berjangkit, adakah kepada keluarga terdekat dahulu?” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya, hari ini.

Terdahulu Puad dilaporkan media tempatan berkata, tindakan adik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi iaitu, Abdul Hakim menyertai PAS tidak menjadi ‘kudis’ kepada parti Melayu itu.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berpendapat bahawa keluar masuk parti adalah perkara biasa dan tidak perlu mengaitkan isu itu dengan metafora yang mengelirukan.

Kenyataan Puad katanya, menimbulkan tanda tanya apabila beliau kelihatan tergesa-gesa memberikan reaksi, sedangkan pimpinan tertinggi Umno yang lain dilihat tenang dan tidak memberi respons segera.

“Bahkan siap membuat perbandingan cerita keluar masuk parti dengan individu-individu lain. Memanglah keluar masuk parti perkara biasa. Yang keluar PAS kemudian masuk balik PAS pun ada.

“Yang keluar Umno tak kembali semula kepada Umno pun ramai, bahkan daripada senarai Presiden Umno, berapa ramaikah di kalangan mereka yang meninggal dunia di luar Umno?

“Jadi tak payahlah ‘mengkudiskan’ sesiapa. Senyap dan buat kerja. Boleh jadi itulah modul pembelajaran yang dipelajari oleh Datuk di sekolah perkaderan di China,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-