Monday, October 7, 2024

Rampasan jam berunsur LGBT: Fadhli mohon maaf

harakahdaily.net
October 7, 2024
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari hari ini memohon maaf kepada Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Kerajaan Malaysia kerana telah mengucapkan tahniah di Dewan Rakyat pada 13 Jun 2023 ekoran tindakan KDN merampas jam yang mempunyai unsur-unsur promosi LGBT.

Rampasan itu bagaimanapun disahkan kemudiannya oleh Saifuddin bahawa ia berdasarkan kepada unsur-unsur yang jelas mempromosikan terhadap budaya songsang yang dilarang di dalam agama dan undang-undang negara ini.

“Walau bagaimanapun, saya terpaksa memohon maaf kerana tersalah mengucapkan tahniah itu ekoran pendirian terbaru Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam satu wawancara baru-baru ini bahawa beliau tidak bersetuju dengan rampasan itu.

“Jadi, jika seorang Perdana Menteri tidak setuju dengan tindakan agensi di bawah kerajaan, tindakan itu tidak ada merit lagi dari sudut punca kuasa,” katanya menerusi satu kenyataan.

Justeru, beliau turut menyatakan kesediaannya untuk menarik balik ucapan tahniah tersebut pada sidang Dewan Rakyat akan datang yang dijadualkan bermula pada 14 Oktober ini.

“Saya mohon maaf sekali lagi kerana mengucapkan tahniah atas rampasan itu. Jika perlu, saya sedia menarik balik ucapan tahniah itu di dalam Dewan Rakyat nanti,” katanya.

Anwar dalam wawancaranya baru-baru ini menyatakan ketidaksetujuannya terhadap rampasan jam tangan bertemakan ‘Rainbow Pride’ yang mempunyai unsur LGBT oleh KDN.

Menurut beliau (Anwar), keputusan untuk melakukan rampasan itu diambil oleh jabatan tertentu dan merupakan satu tindakan yang keterlaluan kerana tiada arahan yang dikeluarkannya untuk berbuat demikian. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-