Tuesday, January 28, 2025

Dr M: Umno sekadar lalat dalam kerajaan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 28, 2025 5:26 PM
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kedudukan wakil rakyat Umno dalam kerajaan hanya 'lalat'.

Mahathir menggunakan perumpanaan itu sebagai memetik pandangan pemimpin DAP terhadap Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh baru-baru ini.

"Yang berhormat ahli Umno, mengikut Nga Kor Ming, Umno hanya lalat. Nga Kor Ming adalah singa.

"Sebab takut singa, Umno terima jadi lalat. Inilah Umno sekarang. Tidak lebih dari lalat dalam kerajaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, Nga yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan melabelkan Akmal sebagai lalat ketika naib pengerusi DAP itu mengambil pendirian enggan melayan cabaran Akmal untuk berdebat berhubung isu kontroversi 'sandwic ham'.

Jelas Nga dia meletakkan dirinya sebagai singa dan tidak layak untuk berdebat dengan Akmal yang dianggap sebagai lalat.
Sementara itu, Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub membidas kenyataan Mahathir yang disifatkan sebagai sekadar untuk menghina Umno.

Katanya, Mahathir sengaja mengalih makna lalat yang ditujukan Nga kepada Akmal secara peribadi..

"Mahathir tahu yang dimaksudkan oleh Nga itu ialah kepada Akmal. Kecualilah kalau bahasa Melayunya difahami secara terbalik seperti kereta api menjadi api kereta. Tapi kerana niat jahatnya dan busuk hatinya kepada Umno maka dia dengan sengaja memutar maksud Nga itu dengan tujuan menghina Umno.

"Nasihat veteran kepada Mahathir supaya berhentilah mengeluar kenyataan dan komen bodoh kerana dendamnya kepada Umno," kata Mustapha.

Tambah Mustapha lagi, semasa menjadi perdana menteri buat kali kedua, Mahathir sendiri melantik pemimpin DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan.

“Bila ditanya mengapa dia melantik Lim bagi jawatan itu, katanya bekas setiausaha agung DAP berkenaan mahukannya.

"Maknanya dia pernah menjadi lalat dan Lim singa. Sepatutnya dialah singa kerana dia perdana menteri masa itu," tambah Mustapha lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-