Tuesday, January 28, 2025

Sikap saling hormat, tonggak identiti Malaysia

harakahdaily.com
Gong Xi Fa Chai
January 28, 2025

KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada seluruh rakyat Malaysia berketurunan Cina dengan harapan sambutan tahun ini akan membawa kegembiraan, keberkatan dan kesejahteraan kepada semua.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perayaan itu bukan sahaja peluang bermakna untuk berkumpul bersama keluarga dan memperkukuh hubungan persaudaraan, tetapi simbol keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

“Sebagai suatu kelaziman, sambutan Tahun Baharu Cina juga dapat mengimbau peristiwa serta sejarah, terutama yang berlaku sepanjang tahun lepas.

“Dari sudut lebih luas, perayaan ini dan perayaan tahunan masyarakat lain di negara ini turut menjadi lambang keharmonian dan kerukunan rakyat yang hidup dalam realiti kepelbagaian budaya, anutan dan latar belakang kepercayaan.

“Sebagai negara yang rencam sifatnya, sudah semestilah sikap saling menghormati, menghargai dan memahami kekal sebagai keperluan asasi bagi memastikan kehidupan bersama menjadi munasabah, produktif dan bermanfaat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, kehidupan bersama rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama telah membentuk jati diri kebangsaan yang unik dan menjadi aset eksklusif negara.

“Lebih daripada itu, ia seharusnya menjadi identiti teras dan aset eksklusif rakyat Malaysia setelah melalui kehidupan bersama sejak sekian lama.

“Malah bagi kebanyakan rakyat kita, kehidupan itu adalah satu-satunya realiti yang dilalui dari zaman kanak-kanak lagi dan seharusnya turut menjadi satu-satunya jati diri yang dikenali dan dihayati sebagai ciri khas kebangsaan Malaysia.

“Dengan kata lain, sikap saling menghormati dan saling memahami bukanlah sekadar nilai atau idealisme yang dirujuk pada masa-masa tertentu, tetapi merupakan cara hidup dan cara berfikir Malaysia yang menjadi amalan pada setiap masa,” katanya.

Beliau menyeru agar dialog berterusan dijadikan pendekatan utama dalam mengatasi salah faham serta ketegangan yang timbul di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan.

“Atas kesedaran dan harapan itu, PAS mengalu-alukan dialog yang berterusan bagi mengatasi salah faham atau kecenderungan dan tindak-tanduk yang kelihatan gagal menjunjung tonggak teras masyarakat Malaysia itu.

“(Yakni) dalam konteks hubungan antara rakyat yang berlainan anutan dan kepercayaan, sekali gus mendedahkan semua kepada konflik dan ketegangan yang tidak perlu mahupun produktif,” katanya.

Beliau berkata, beberapa isu melibatkan ajaran serta hukum-hakam Islam, termasuk sensitiviti terhadap keperluan diet umat Islam dapat dielakkan sekiranya setiap pihak menghormati dan memahami batas-batas yang wujud dalam masyarakat.

“Sikap mengambil mudah, sewenang-wenang, apatah lagi meremehkan kepentingan serta sudut pandang sah orang lain adalah berlawanan sama sekali dengan identiti saling menghormati Malaysia dan tidak boleh dipertahankan.

“Ia seharusnya dihentikan dengan tegas dan segera kerana kegagalan berbuat demikian baik atas kepentingan politik, perniagaan, oportunisme atau pertimbangan lain hanya akan mengundang respons yang sama buruknya daripada kelompok yang terkesan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru semua pihak untuk memperbaharui komitmen terhadap identiti teras Malaysia yang selama ini menjadi asas kepada keharmonian dan kemajuan negara.

“Atas semangat Tahun Baharu dan permulaan baharu, sewajarnya semua pihak memurnikan komitmen bersama pada identiti teras Malaysia yang selama ini telah berjaya membawa kita ke titik kemajuan serta keharmonian hidup yang boleh dibanggakan, selain menjadi simbol keberhasilan wawasan kebangsaan negara.

“Gong Xi Fa Chai. Semoga tahun ini akan membawa kemakmuran, kesihatan dan kebahagiaan kepada semua,” katanya. 

HARAKAHDAILY 28/1/2025

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-