January 23, 2025
KUALA LUMPUR: Pemuda Umno suatu ketika dahulu dihormati dan digeruni sehingga menjadi ikutan, tetapi kini nasibnya berubah apabila menjadi bahan hinaan oleh sekutu politik yang mereka pilih sendiri.
Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, selepas Pemuda DAP (DAPSY) menempelak mereka sebagai ‘samseng’, kali ini DAP ‘singa’ pula menganggap Ketua Pemuda Umno hanya sebagai ‘lalat’.
“Satu penghinaan yang jelas. Begitulah bila kita sudah tidak dipandang mulia apabila kita menyerahkan ‘talian hayat’ kepada orang. Apa lagi apabila kita tersalah memilih sahabat,” ujarnya dalam media sosial miliknya semalam.
Terdahulu media tempatan melaporkan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, menyifatkan dirinya sebagai ‘singa’ yang tidak akan berdebat dengan ‘lalat’ ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, berhubung isu sandwic ‘ham’.
Nga dilaporkan menegaskan DAPSY akan membalas kritikan Pemuda Umno sepuluh kali ganda, namun beliau tetap menghargai sikap rasional Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Dari kedudukan saya, komen saya, singa tidak berdebat dengan lalat. Dia tidak setaraf, jadi kami tidak akan bergaduh,” kata Nga.
“Telah jelas kebencian mereka itu dari lidah lidah mereka… dan apa yang ada di dalam hati mereka adalah lebih besar lagi…,” petik Annuar daripada maksud ayat al-Quran.
– HARAKAHDAILY 23/1/2025
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.