ByJanatul Firdaus Yaacob
23/01/2025
KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menyatakan komitmen untuk turut serta sebagai tanda sokongan penuh terhadap penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan diadakan pada Sabtu, 25 Januari 2025 di Kuala Lumpur.
Perhimpunan anjuran Bersih dan Suaram itu dianggap satu manifestasi hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi, yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan bawah kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.
Ketua Penerangan Pemuda Pas Nadzir Helmi menuntut agar kerajaan bersikap matang dan menghormati hak rakyat untuk berhimpun tanpa sebarang gangguan atau sekatan yang tidak munasabah.
Selain itu katanya, Pemuda Pas juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turun beramai-ramai menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah pada 25 Januari 2025 sebagai tanda solidariti menolak rasuah dan menuntut pentadbiran yang bersih serta telus.
“Pemuda Pas menyatakan komitmen untuk turut serta sebagai tanda sokongan penuh terhadap penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan diadakan pada Sabtu, 25 Januari 2025 di Kuala Lumpur. Himpunan ini merupakan satu manifestasi hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi, yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan bawah kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.
“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, kebebasan untuk berhimpun secara aman adalah antara ‘tiang seri’ demokrasi serta komponen utama proses semak dan imbang terhadap kerajaan yang memerintah. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab rakyat dan pembangkang untuk memastikan agenda reformasi dan ketelusan terus diperjuangkan.
“Himpunan Sabtu ini yang melibatkan sokongan daripada pembangkang dan rakyat adalah cerminan sifat responsif dan konsruktif semua pihak demi Malaysia yang lebih cemerlang.
“Hal ini selari dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang telah beberapa kali menyatakan pendirian bahawa kerajaan sentiasa terbuka kepada sebarang kritikan dan cadangan untuk kebaikan negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujar Nadzir lagi, himpunan ini juga bukan sekadar hak demokratik tetapi juga salah satu mekanisme untuk menyuarakan kegelisahan rakyat terhadap isu rasuah yang semakin berleluasa di negara ini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.