Thursday, January 30, 2025

Perayaan budaya dan kaum Cina, bukan negara China

harakahdaily.com
January 30, 2025
KUALA LUMPUR: Kibaran bendera negara China ketika sambutan Tahun Baru Cina di negara ini adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima, kata Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Irwan Fahmi Ideris.

Menurut beliau, hal tersebut menunjukkan bahawa Kerajaan Madani pada hari ini telah gagal menguruskan negara kerana mengulangi kesilapan yang sama.

“PERKASA merasakan Kerajaan Madani hari ini telah gagal mengurus negara kerana kesilapan yang sama ataupun mahu menjadikan Malaysia ini sebahagian dengan China?

“Apakah kerajaan kini bergantung dengan China? Ini satu tindakan yang tidak boleh di terima oleh semua rakyat apabila sambutan Tahun Baru Cina di negara Malaysia berkibarnya bendera negara China?

“Hampir semua adat dan budaya dari negara China hendak dibawa masuk ke dalam negara kita? Apakah identiti negara kita sedang di hapuskan sedikit demi sedikit?” soalnya.

Beliau dalam pada itu turut menyatakan persoalan kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berharap agar lebih ramai pelancong dari China untuk datang ke Malaysia.

“Beliau berharap lebih ramai pelancong dari negara China akan datang ke Malaysia. PERKASA ingin bertanya mengapa seruan ini hanya di tujukan kepada rakyat dari Tanah Besar China?

“Apakah pelancong dari negara lain tidak mendatangkan keuntungan kepada negara Malaysia? Atau apakah ada agenda tersembunyi yang sedang disembunyikan oleh pihak kerajaan?” katanya.

Justeru, Irwan menggesa agar kerajaan memecat Menteri Pelancongan, Dato’ Sri Tiong King Sing yang kini ibarat menjadi ‘Menteri’ dari negara China.

“PERKASA menggesa kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk memecat Menteri Pelancongan Malaysia yang kini sudah menjadi Menteri Pelancongan negara China secara tidak rasmi.

“Kerana telah melakukan pengkhianatan terhadap negara dan tidak menjalankan tugas membawa nama Malaysia ke persada dunia, tetapi lebih kepada membawa imej, adat dan budaya seolah-olah Malaysia sebahagian daripada negara China.

“Ingat ini negeri Melayu, kini pemimpin Melayu mula khianat pada bangsa mereka sendiri,” katanya.

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir pula berkata, Tahun Baru Cina bukanlah satu perayaan bagi memperingati negara Republik Rakyat China.

Namun, menurut beliau, ia sebaliknya adalah satu perayaan masyarakat Cina mengikut budaya dan tradisi mereka.

“Tahun Baru Cina atau Chinese New Year adalah perayaan masyarakat Cina mengikut budaya dan tradisi mereka.

“Ia bukan perayaan memperingati negara Republik Rakyat China,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai paparan bendera negara China ketika pertunjukan drone di Menara Berkembar PETRONAS, baru-baru ini.

“Apa signifikan diagungkan bendera negara komunis itu sempena perayaan ini?” soalnya.

Dalam pertunjukan dron tersebut antara lainnya memaparkan kibaran bendera Malaysia dan China, di samping pertunjukan dron berbentuk naga.

Pertunjukan itu mencipta rekod selepas ia melibatkan sebanyak 1,200 drone yang menerangi langit malam Kuala Lumpur. 

HARAKAHDAILY 30/1/2025

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-