January 23, 2025
Sama terhadap Najib seperti Anwar
KUANTAN: “Ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim diberikan pengampunan, tiada sesiapa yang mempersoalkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Kenapa pada hari ini, apabila kuasa yang sama digunakan, ia menjadi satu isu yang sangat kontroversi?”
Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang, Ustaz Aireroshairi Roslan menolak tuduhan bahawa PAS membela bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohamad Najib Tun Abdul Razak, dan menyifatkannya sebagai persepsi tidak berasas.
Menurutnya, PAS konsisten mempertahankan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, sama seperti ketika pengampunan diberikan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini.
“Apa yang lebih membimbangkan adalah tindakan kerajaan yang sengaja menyembunyikan kewujudan Titah Adendum ini sejak Januari tahun lalu.
“Persoalannya, mengapa maklumat penting sebegini dirahsiakan daripada pengetahuan rakyat? Di manakah prinsip ketelusan yang sering dilaung-laungkan oleh kerajaan Madani?” persoalnya dalam satu kenyataan.
PAS menurutnya mengingatkan bahawa soal kesalahan dan hukuman adalah bidang kuasa mahkamah, manakala kuasa pengampunan adalah hak prerogatif mutlak Yang di-Pertuan Agong yang dijamin oleh Perlembagaan.
PAS juga jelasnya menegaskan akan terus mempertahankan kedaulatan institusi diraja daripada sebarang cubaan untuk mencabar autoriti Yang di-Pertuan Agong.
“Kami menuntut penjelasan segera daripada kerajaan mengenai sebab-sebab Titah Adendum ini disembunyikan untuk tempoh yang sangat lama,” ujarnya.
Aireroshairi menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk memahami bahawa isu itu bukan soal membela individu tertentu, tetapi mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang kestabilan negara kita.
“Kuasa prerogatif diraja perlu dihormati tanpa mengira siapa yang menerima pengampunan tersebut. Pisau berlumur merah getahnya, Ditikam rebung pagi semalam; Berani menghasut hancur badannya, Perpaduan Melayu jangan diragam.
“Anai-anai dah buat sarang, Dari tangga sampai ke anjung; Sesama bangsa kurangkan bertegang, Supaya kaduk tak naik ke junjung,” katanya dengan pantun berunsur nasihat.
– HARAKAHDAILY 23/1/2025
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.