Tuesday, January 21, 2025

PN sambut cabaran kemuka usul undi tak percaya tapi dengan 4 syarat – Tun Faisal

suara.tv
ByJanatul Firdaus Yaacob
21/01/2025
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menyambut cabaran usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim namun meletakkan empat syarat.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, untuk berlaku adil, jika Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim benar-benar berani, adil dan berpegang kepada prinsip kebebasan membuat pilihan.

Justeru Tun Faisal mencabar Hassan untuk mencadangkan kepada Speaker, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi agar undi tidak percaya ini dilaksanakan secara sebebas-bebasnya tanpa sebarang halangan.

“Hassan boleh mendesak agar Speaker, PM dan Zahid bersetuju dengan empat syarat agar undi tidak percaya dilaksanakan secara adil iaitu – untuk mengangkat sekatan whip dan membenarkan Ahli Parlimen mengundi mengikut suara hati mereka.

“Kedua – Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh mengundi secara bebas tanpa sebarang tindakan oleh parti yang mereka wakili seperti yang diperuntukkan oleh Akta Lompat Parti. Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh mengundi tanpa rasa takut keahlian mereka dalam parti tergugur dan kerusi Parlimen mereka dikosongkan.

“Ketiga- Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh mengundi tanpa sebarang sekatan undang-undang dan tidak tertakluk kepada sebarang perjanjian atau akujanji yang menyekat mereka daripada menzahirkan sokongan mereka secara bebas.

“Keempat- Undi Tidak Percaya dilaksanakan secara sulit dan diuruskan pengiraannya secara telus dan adil di hadapan semua wakil parti.

“Beranikan Hassan memastikan Speaker, PM-10, Zahid dan kerajaan melaksanakan empat syarat ini? soal Tun Faisal.

Menurut Tun Faisal lagi, hakikat bahawa Ahli Parlimen Pasir Gudang itu tidak berani mematahkan setiap hujah dan bukti yang saya berikan mengenai integriti, penderhakaan, penipuan, janji-janji palsu dan kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi dan kerajaan campuran PH-BN membuktikan Hassan sedar bahawa Anwar, Zahid dan kerajaan campuran PH-BN tidak memenuhi kriteria dan kelayakan untuk memerintah negara ini.

Beliau malah mendakwa, Hassan hanya mampu mengakui bahawa Anwar, Zahid dan kerajaan hari ini tidak maksum dan tidak sempurna, tetapi tidak mahu mengulas lanjut dan berselindung di sebalik alasan ‘konflik kepentingan’.

“Hassan sepatutnya menjawab dengan tegas dan berani sama ada benar atau tidak kerajaan ini dibentuk melalui penipuan dan manipulasi Zahid, gagal melaksanakan pelbagai janji yang dibuat dan menderhaka Yang di-Pertuan Agong dalam skandal titah addendum.

“Sebelum dipanggil oleh Lembaga Disiplin PKR, ramai yang mengakui bahawa Hassan sangat berani mengatakan kerajaan hari ini lebih teruk berbanding PM-PM dan kerajaan sebelum ini dalam aspek ‘kapitalisme kroni’ dalam isu UMobile dan 5G Kedua. Ke mana hilang ketegasan dan keberanian Hassan untuk menegakkan kebenaran dan melawan kebatilan?

“Hassan perlu berlaku adil dan jujur. Jangan berselindung di belakang usul Undi Tidak Percaya di Dewan Rakyat. Mungkin dia membuat cabaran itu kerana dia tahu saya bukan Ahli Dewan Rakyat dan ingin berlindung di sebalik Akta Lompat Parti dan sekatan-sekatan yang menghalang Ahli Parlimen daripada membuat undian dan memberikan sokongan secara bebas.

“Saya bukan Ahli Parlimen dan tidak boleh mengusulkan Undi Percaya atau Undi Tidak Percaya, tetapi memahami kenapa Hassan mencabar PN mengusulkan Undi Tidak Percaya,” kata Tun Faisal lagi.

Terdahulu Hassan mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai pemimpin yang layak menjadi Perdana Menteri.

Justeru Ahli Parlimen Pasir Gudang itu mencabar ahli-ahli Parlimen PN supaya mengemukakan usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri pada sidang Parlimen 3 Februari ini jika mereka berfikiran sebaliknya.

“Di dalam Dewan Rakyat itu nanti adalah tempat yang wajar menentukan sama ada Anwar layak atau tidak layak menjadi Perdana Menteri.

“Saya harap cabaran saya ini dijawab oleh (Ketua Penerangan Bersatu) Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan pemimpin-pemimpin PN lainnya,” katanya dalam kenyataan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-