Showing posts with label usul undi tidak percaya. Show all posts
Showing posts with label usul undi tidak percaya. Show all posts

Tuesday, January 21, 2025

PN sambut cabaran kemuka usul undi tak percaya tapi dengan 4 syarat – Tun Faisal

suara.tv
ByJanatul Firdaus Yaacob
21/01/2025
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menyambut cabaran usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim namun meletakkan empat syarat.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, untuk berlaku adil, jika Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim benar-benar berani, adil dan berpegang kepada prinsip kebebasan membuat pilihan.

Justeru Tun Faisal mencabar Hassan untuk mencadangkan kepada Speaker, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi agar undi tidak percaya ini dilaksanakan secara sebebas-bebasnya tanpa sebarang halangan.

“Hassan boleh mendesak agar Speaker, PM dan Zahid bersetuju dengan empat syarat agar undi tidak percaya dilaksanakan secara adil iaitu – untuk mengangkat sekatan whip dan membenarkan Ahli Parlimen mengundi mengikut suara hati mereka.

“Kedua – Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh mengundi secara bebas tanpa sebarang tindakan oleh parti yang mereka wakili seperti yang diperuntukkan oleh Akta Lompat Parti. Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh mengundi tanpa rasa takut keahlian mereka dalam parti tergugur dan kerusi Parlimen mereka dikosongkan.

“Ketiga- Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh mengundi tanpa sebarang sekatan undang-undang dan tidak tertakluk kepada sebarang perjanjian atau akujanji yang menyekat mereka daripada menzahirkan sokongan mereka secara bebas.

“Keempat- Undi Tidak Percaya dilaksanakan secara sulit dan diuruskan pengiraannya secara telus dan adil di hadapan semua wakil parti.

“Beranikan Hassan memastikan Speaker, PM-10, Zahid dan kerajaan melaksanakan empat syarat ini? soal Tun Faisal.

Menurut Tun Faisal lagi, hakikat bahawa Ahli Parlimen Pasir Gudang itu tidak berani mematahkan setiap hujah dan bukti yang saya berikan mengenai integriti, penderhakaan, penipuan, janji-janji palsu dan kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi dan kerajaan campuran PH-BN membuktikan Hassan sedar bahawa Anwar, Zahid dan kerajaan campuran PH-BN tidak memenuhi kriteria dan kelayakan untuk memerintah negara ini.

Beliau malah mendakwa, Hassan hanya mampu mengakui bahawa Anwar, Zahid dan kerajaan hari ini tidak maksum dan tidak sempurna, tetapi tidak mahu mengulas lanjut dan berselindung di sebalik alasan ‘konflik kepentingan’.

“Hassan sepatutnya menjawab dengan tegas dan berani sama ada benar atau tidak kerajaan ini dibentuk melalui penipuan dan manipulasi Zahid, gagal melaksanakan pelbagai janji yang dibuat dan menderhaka Yang di-Pertuan Agong dalam skandal titah addendum.

“Sebelum dipanggil oleh Lembaga Disiplin PKR, ramai yang mengakui bahawa Hassan sangat berani mengatakan kerajaan hari ini lebih teruk berbanding PM-PM dan kerajaan sebelum ini dalam aspek ‘kapitalisme kroni’ dalam isu UMobile dan 5G Kedua. Ke mana hilang ketegasan dan keberanian Hassan untuk menegakkan kebenaran dan melawan kebatilan?

“Hassan perlu berlaku adil dan jujur. Jangan berselindung di belakang usul Undi Tidak Percaya di Dewan Rakyat. Mungkin dia membuat cabaran itu kerana dia tahu saya bukan Ahli Dewan Rakyat dan ingin berlindung di sebalik Akta Lompat Parti dan sekatan-sekatan yang menghalang Ahli Parlimen daripada membuat undian dan memberikan sokongan secara bebas.

“Saya bukan Ahli Parlimen dan tidak boleh mengusulkan Undi Percaya atau Undi Tidak Percaya, tetapi memahami kenapa Hassan mencabar PN mengusulkan Undi Tidak Percaya,” kata Tun Faisal lagi.

Terdahulu Hassan mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai pemimpin yang layak menjadi Perdana Menteri.

Justeru Ahli Parlimen Pasir Gudang itu mencabar ahli-ahli Parlimen PN supaya mengemukakan usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri pada sidang Parlimen 3 Februari ini jika mereka berfikiran sebaliknya.

“Di dalam Dewan Rakyat itu nanti adalah tempat yang wajar menentukan sama ada Anwar layak atau tidak layak menjadi Perdana Menteri.

“Saya harap cabaran saya ini dijawab oleh (Ketua Penerangan Bersatu) Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan pemimpin-pemimpin PN lainnya,” katanya dalam kenyataan.

Thursday, October 15, 2020

Usul undi tidak percaya bukan unik dalam sistem negara


azrulhakimie
ismaweb.net

Usul takkan dipercepat perbahasannya tanpa diterima seorang menteri


KUALA LUMPUR, 27 Safar 1442H, Khamis – Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menegaskan bahawa kedudukan usul undi tidak percaya dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bukanlah unik kepada sistem yang diamalkan negara.

Beliau berkata sistem yang diamalkan di Australia juga hampir serupa dengan amalan di Malaysia yang mana sesuatu usul undi tidak percaya tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan oleh seorang menteri.

Bagaimanapun, Azhar menekankan bahawa apa-apa usul yang dibuat dan diberi pemberitahuannya kepada beliau atau pun Setiausaha Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat akan dikendalikannya mengikut undang-undang sedia ada.

“Saya merujuk kepada surat Yang Berhormat Mulia (YBM) Tan Sri Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah bertarikh 25 September 2020 kepada saya dan surat jawapan daripada saya bertarikh 29 September 2020 kepada YBM Tengku Razaleigh.

“Saya difahamkan bahawa surat-surat itu telah diedarkan oleh pejabat YBM Tengku Razaleigh dan telah menjadi pengetahuan umum.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBM Tengku Razaleigh kerana telah memberi peluang kepada saya untuk memberi penerangan mengenai kedudukan usul undi tidak percaya yang YBM fikirkan dihalang daripada dibahaskan dengan cara penyenaraiannya di penghujung senarai perbahasan,” katanya.

Menurut Azhar, beliau telah menjawab kemusykilan Tengku Razaleigh secara bertulis dalam surat jawapannya dan turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu atas kesudian memberi peluang kepadanya untuk menerangkan kedudukan perkara berkenaan secara lisan.

Terdahulu, Tengku Razaleigh meminta usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri diberi keutamaan untuk dibahas pada persidangan Dewan Rakyat akan datang, yang dijadual bermula 2 November ini.

Gesaan itu dibuat menerusi surat yang dihantar kepada Yang Dipertua (Speaker) Dewan Rakyat pada 25 September lalu, yang dikongsi kepada media hari ini.

Tengku Razaleigh berpandangan usul itu penting dalam menentukan Perdana Menteri mendapat kepercayaan Dewan Rakyat selaras dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Surat Tengku Razaleigh itu merujuk usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad pada persidangan Dewan Rakyat Mei lalu dan dibawa pada persidangan Julai.

Pendedahan itu turut menyertakan surat jawapan Azhar yang antara lain menyatakan dakwaan Perdana Menteri tidak membenarkan Usul Tidak Percaya dibahaskan adalah tidak benar dan menjelaskan susunan Aturan Urusan Mesyuarat lepas dibuat bekas Yang Dipertua Dewan Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof.

 – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-