Tuesday, January 28, 2025

Rakyat berhak kecewa jika k'jaan Anwar gagal tunai janji reformasi - Bersih

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 28, 2025 8:30 AM
Bersih mengingatkan bahawa rakyat berhak untuk kecewa sekiranya kerajaan gagal menunaikan janji reformasinya.

Pengerusi badan pemantau pilihan raya itu, Muhammad Faisal Abdul Aziz memberitahu Malaysiakini bahawa kerajaan perlu memulakan proses reformasi tahun ini.

“Rakyat berhak untuk kecewa setelah meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk melakukan perubahan ini,” kata Faisal.

Antara reformasi yang dituntut Bersih ialah pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya, pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk menyekat rasuah dalam pilihan raya, perubahan kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan menggubal Akta Pembiayaan Politik.

Selain itu, Faisal berkata Bersih sedang merancang satu siri jerayawara di seluruh negara, yang akan bermula di Ipoh, Perak bulan depan.

“Jewaraya ini adalah satu bentuk galakan dan sebaran kesedaran kepada rakyat untuk bersama kita mendesak kerajaan melakukan reformasi khususnya untuk menoktahkan rasuah,” katanya.

Sambil merujuk kepada perhimpunan yang diadakan di Kuala Lumpur Sabtu lalu, Faisal berkata Bersih perlu menggunakan momentum itu untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi menekan kerajaan jika agenda reformasi tidak direalisasikan sepenuhnya.

"Justeru untuk memastikan agenda menoktahkan rasuah ini berjaya Bersih mengalu-alukan kerjasama dengan semua pihak khususnya mahasiswa untuk kita sederap bawa suara dan harapan rakyat.

"Himpunan baru-baru ini, termasuk demonstrasi Reformasi 100 peratus anjuran Bersih tahun lepas adalah momentum untuk menterjemahkan satu himpunan besar-besaran sekiranya agenda reformasi masih tidak dilunaskan sepenuhnya," katanya.

Dia juga memuji pelajar yang menganjurkan perhimpunan antirasuah di Dataran Merdeka minggu lepas, dengan mengatakan bahawa dia dan orang lain dalam Bersih mengucapkan terima kasih secara peribadi.

Minggu lalu, kira-kira 200 orang, terutamanya pelajar dari lebih 10 universiti tempatan, berarak lebih 1km untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kes rasuah di negara ini.

Perhimpunan itu pada mulanya cuba disekat oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan, dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menekankan arahan polis agar penganjur mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis himpunan.

Ia dikritik Bersih dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram), yang menuduh kerajaan hipokrit memandangkan pengalaman lalu pemimpin PH di perhimpunan.

Tetapi Anwar kemudian berkata dia tidak mempunyai masalah dengan perhimpunan itu, sambil menambah bahawa Saifuddin telah memberi kebenaran untuk ia diteruskan.

Perhimpunan itu adalah susulan perhimpunan ambang tahun baru pimpinan pelajar di Sabah, yang membantah ahli politik negeri yang terlibat dalam skandal rasuah.

Ini berlaku selepas pendedahan Malaysiakini mengenai Adun Sabah yang didakwa membincangkan rasuah untuk mendapatkan lesen cari gali mineral, yang turut membabitkan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Hajiji dan lain-lain yang dikaitkan dengan skandal itu telah menafikan sebarang salah laku, mendakwa ia sebagai konspirasi untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri menjelang pilihan raya negeri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-