Oleh Noorazura Abdul Rahman
bhrencana@bh.com.my
Februari 16, 2025
Suasana sawah padi menghijau berlatar belakangkan mata hari yang bersinar di Bukit Kodiang. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
MENELUSURI jalan lama bermula dari Butterworth ke Alor Setar, pastinya mata tidak lepas memandang panorama indah sawah yang terbentang luas.
Namun di sebalik pemandangan indah itu, tersimpan pelbagai kisah petani yang mengusahakan kira-kira 130,000 hektar sawah di seluruh Kedah.
Apatah lagi sebahagiannya diusahakan sejak turun temurun, sehingga ia seakan sudah menjadi warisan tradisi sesebuah keluarga. Biarpun dihimpit pelbagai masalah, pak tani terus mengusahakan tanaman padi dengan Kedah membekalkan sehingga 43 peratus keperluan beras negara sejak dahulu lagi.
Bagaimanapun hari ini senarionya tidak lagi serupa. Perkembangan teknologi dan pembangunan jentera secara perlahan-lahan mengambil alih rutin penanaman padi tradisional.
Berkongsi akan perubahan itu, pesawah tradisi, Md Saad Yaakob, 68, berkata dia sudah mengharungi pelbagai pengalaman pahit manis sepanjang mengusahakan sawah sejak puluhan tahun lalu.
Kata Md Saad, sejak berusia 11 tahun dia sudah bersama kedua ibu bapa dan saudara-maranya mengerjakan sawah padi.
Mengimbau kembali kenangan membanting tulang di tengah sawah, Md Saad berkata, suatu ketika dahulu sawah diusahakan secara bergotong-royong bersama penduduk kampung bermula daripada proses membajak atau 'putar bendang' sehingga kerja menuai atau 'kerat padi'.
"Zaman itu belum ada mesin dan jentera, semua kerja kena dilakukan menggunakan tenaga empat kerat.
"Kalau buat semua kerja seorang diri, memang tidak mampu. Jadi kena ada pertolongan penduduk kampung, mereka ini umpama saudara kita.
"Jadi apabila waktu membajak, semua akan bawa kerbau dan kayu bajak. Kami akan bajak semua kawasan sawah milik penduduk kampung.
"Apabila mula menanam, kami guna kuku kambing untuk susun pokok padi biar rapi dan tegak," katanya ketika ditemui BH baru-baru ini.
Sambung Md Saad, mesin dan jentera hanya datang sekitar tahun 80-an yang memperlihatkan secara perlahan-lahan kerja gotong-royong sudah semakin kurang.

Pesawah melakukan kerja menuai padi. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
Malah hari ini perkembangan teknologi menyaksikan semua proses penanaman padi hingga penuaian dilakukan oleh sepenuhnya oleh traktor, jentera tuaian juga dron."Dulu harga padi murah, namun ia seimbang dengan kos yang perlu ditanggung dan tidak dinafikan tenaga yang dicurahkan sangat berbaloi ketika itu.
"Dulu sewa sawah hanya RM100 serelung (0.29 hektar), sekarang sudah mencecah antara RM800 hingga RM1,200. Ketika remaja saya pernah ambil upah memotong rumput, mengerat dan memukul padi pada kadar 80 sen sahaja.
"Apabila dapat upah RM2 pun rasa seronok sangat, boleh simpan duit itu untuk belanja beberapa hari, dulu laksa semangkuk harganya baru 20 sen sahaja. Harga sepikul (60 kilogram) padi pula baru RM60, dalam setahun dapat hasil padi RM400 cukup gembira, jumlah itu sangat besar bagi kami," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, sepanjang 57 tahun menjadi pesawah, bapa lima anak itu mengakui mengusahakan sawah kini sangat mencabar berikutan keadaan tanah yang sudah lama malah ada yang menjangkau usia melebihi tujuh dekad.
Tambahan pula, padi kini mudah diserang pelbagai penyakit dan haiwan perosak yang memerlukan perbelanjaan tinggi bagi kerja memulihkan tanah melalui kaedah meracun dan membaja.
"Sekarang ada RM1,000 dalam poket rasa tak cukup memikirkan kos awal yang tinggi, dulu tak perlu fikir sangat perkara ini.
"Sekarang banyak menggunakan jentera dan perlu dibayar upah yang tinggi terutama selepas kenaikan harga diesel.
"Untuk berjimat cermat saya beli mesin beras sendiri dengan harga RM1,800 secara hutang, saya pastikan setiap tahun akan simpan lima guni beras (60 kilogram seguni) cukup untuk setahun," katanya yang mengusahakan lebih dua hektar sawah secara sewa di Sungai Limau Dalam.
Sementara itu bagi bekas jurutera, Suhaimi Omar, 42, berkata dia tidak boleh bergantung kepada hasil jualan padi semata-mata ketika ini, kerana imbuhannya sangat minimum biarpun mengusahakan kira-kira 10 hektar sawah.
"Selepas berhenti kerja jurutera, saya beli dron dengan harga RM30,000 dan sebuah lagi yang baru dibeli berharga RM50,000.
"Dron itu saya gunakan untuk menyediakan perkhidmatan meracun dan menabur baja kepada petani di kawasan sekitar.
"Saya ambil upah RM20 bagi setiap relung (0.29 hektar). Alhamdulillah dapat bantu tambah pendapatan untuk sara keluarga, tetapi bergantung kepada hasil tanaman padi semata-mata memang tidak dapat lagi," kata bapa kepada tiga anak ini.
Kisah Suhaimi hampir serupa dengan Muhammad Firdaus Che Omar, 40 yang memilih berhenti kerja di kota dan pulang mengusahakan sawah seluas kira-kira tujuh hektar di kampung.
"Ia sebenarnya bermula kerana saya nekad mahu menjaga ibunya yang sudah uzur.
"Saya tidak ada pilihan dan melihat hanya dengan mengusahakan sawah saja saya mudah untuk menjaga emak di rumah.
"Saya masih ingat ketika itu harga lantai padi adalah RM1,800. Masa itu saya sempat merasa pendapatan bersih kira-kira RM500 sebulan tapi hal ini jauh berbeza dengan sekarang, kerana sudah sudah tak ada untung," katanya.
Kata Muhammad Firdaus, untuk menambah pendapatan dia juga mengambil upah untuk menerbangkan dron bagi melakukan kerja-kerja menabur baja dan racun.
Namun ia tidak memadai untuk menampung perbelanjaan, justeru beliau sangat berharap pihak berwajib dapat menimbangkan semula bantuan kepada petani supaya setimpal dengan kerja keras mengusahakan sawah.
Tanam padi bukan lagi pilihan generasi muda
Cabaran dan peningkatan kos pengeluaran padi yang terpaksa ditanggung petani mungkin menyebabkan tiada lagi golongan muda yang sanggup meneruskan pekerjaan menanam padi pada masa hadapan.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob, berkata lebih 80 peratus sawah di Kedah diusahakan petani berusia 50 tahun ke atas dan terlalu sedikit petani muda 'berani' mencebur diri dalam bidang berkenaan.
Ketika ini katanya, Kedah menyumbang 43 peratus kadar pengeluaran padi untuk kegunaan domestik, justeru jika tidak ada lagi anak muda yang berminat untuk meneruskan pekerjaan tradisi itu, ia mungkin akan mempengaruhi status Kedah sebagai negeri Jelapang Padi.

Suasana sawah padi menghijau berlatar belakangkan matahari yang bersinar di Bukit Kodiang. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
"Ketika ini tidak sampai 10 peratus pesawah berusia lingkungan 20-an dan ini suatu angka yang menyedihkan."Ia menggambarkan tiada tarikan untuk anak muda daripada keluarga petani meneruskan legasi keluarga mereka.
"Hal ini memang difahami kerana risiko mengusahakan sawah sangat tinggi, faktor kerugian menyebabkan pesawah hidup bawah garis kemiskinan dengan purata pendapatan RM350 sebulan," katanya.
Tambah Abdul Rashid, purata pengeluaran padi di Kedah adalah kira-kira 5.2 tan sehektar berbanding di Sekincan, Selangor yang mampu menghasilkan sehingga 12 tan per hektar, namun perbelanjaan mereka juga tinggi untuk memperoleh hasil yang sebegitu.
Katanya, petani di Sekincan mempunyai sistem pengairan yang baik dan moden. Hal ini berbeza dengan petani di Kedah yang mewarisi sistem pengairan secara turun-temurun daripada generasi nenek moyang dahulu.
Abdul Rashid berkata, tanaman padi perlu dimartabatkan kembali dan ia perlu menjadi sektor yang perlu diutamakan kerajaan seperti di negara maju.
"Perbelanjaan kerajaan untuk pertanian negara maju sangat tinggi dan perkara ini tidak boleh dibuat main-main.
"Dalam hal ini kerajaan negeri juga perlu memainkan peranan supaya tanah sawah tidak terus dijual kepada pemaju perumahan atas faktor ia tidak berbaloi lagi untuk diusahakan.
"Hal ini perlu dipantau bagi mengelak jumlah tanah sawah di Kedah berkurangan," katanya.
Tegasnya, banyak perkara perlu diperhalusi misalnya mengapa pemilik tanah sawah sanggup menjual pemilikan mereka, malah terdapat segelintir yang lain memajak tanah kepada warga asing untuk diusahakan.

Biarpun dihimpit pelbagai masalah, pak tani terus mengusahakan tanaman padi dengan Kedah membekalkan sehingga 43 peratus keperluan beras negara sejak dahulu lagi. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
"Perkara ini tidak boleh dibiarkan, saya yakin masih ada sinar untuk industri padi negara, kerajaan perlu lakukan sesuatu untuk selamatkan pesawah yang sanggup bersusah payah dan berkorban untuk makanan ruji rakyat Malaysia," katanya.Sementara itu, pesawah muda, Muhammad Asyraf Ali, 17, berkata, dia masih berminat untuk mengusahakan sawah sekiranya keringat yang dicurahkan setimpal dengan hasil.
Katanya, sejak enam tahun lalu dia sudah membantu bapanya di sawah dan memahami selok-belok cabaran dalam mengusahakan sawah.
"Saya lahir di sini, bermain dan membesar di dalam sawah, mustahil saya tak minat nak usahakan sawah, namun saya harapkan kerajaan akan adakan inisiatif yang lebih baik untuk bantu golongan petani.
"Selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti, saya akan terus tolong ayah di sawah, selepas itu saya bercadang nak sambung pengajian ke peringkat tertinggi.
"Sebagai orang muda saya tak nafikan harga padi sangat mempengaruhi minat kami untuk meneruskan legasi keluarga, jadi tidak mustahil sawah hanya akan diusahakan oleh golongan berusia," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.