Diterbitkan: Feb 16, 2025
Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal menyoal mengapa masih tiada tangkapan dilakukan dalam kontroversi rasuah di Sabah.
Menurutnya, perkara itu lebih menghairankan kerana dia sendiri pernah ditahan untuk siasatan berkaitan skandal 1MDB.
"Saya soal (tentang 1MDB), terus masuk (lokap). Saya direman.
"Berapa minggu, tidur lantai, pakai baju oren. Itu Muhyiddin kes pakai tie (tali leher), itu Najib masuk mahkamah pakai kot, saya pakai (baju lokap SPRM warna) oren tidur lantai lagi.

Video yang dirujuk Shafie merupakan siri video yang didedahkan oleh seorang pemberi maklumat kepada Malaysiakini yang mendakwa lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terlibat dalam menerima rasuah.
Shafie pernah ditahan berkaitan 1MDB
Pada tahun 2016, Shafie digantung keahlian Umno walaupun ketika itu dia memegang jawatan naib presiden parti kerana lantang mengkritik bekas perdana menteri Najib berhubung skandal 1MDB.
Dia kemudian mengumumkan keluar daripada Umno dan menubuhkan Warisan, sebuah parti berasaskan Sabah, dalam usaha untuk menyingkirkan parti lamanya daripada pentadbiran negeri.
Pada tahun 2017, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahannya atas dakwaan penyelewengan sekurang-kurangnya RM1.5 bilion dana pembangunan Sabah semasa dia menjadi menteri pembangunan luar bandar dan wilayah.
Penahanan itu dilihat bermotifkan politik kerana Najib telah memecat Shafie daripada jawatan menteri pada tahun 2015 selepas dia mencabar kepimpinannya dalam menangani skandal 1MDB.
Umno mahu kerjasama Warisan?
Pada majlis sama, Shafie turut mendakwa Umno telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Warisan dalam pilihan raya negeri Sabah yang akan datang.
"Lepas (pendedahan video) itu, Umno dia bilang dia mahu kerjasama sama Warisan. Saya bagi tahu Warisan tidak kerjasama mana-mana parti. Warisan kerjasama dengan orang Sabah, rakyat Sabah," katanya.
Bagaimanapun, semalam, Umno Sabah mengesahkan parti itu belum mencapai sebarang persefahaman pilihan raya dengan Warisan.
Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir berkata parti itu masih belum membuat keputusan untuk bersekutu dengan mana-mana pihak di negeri itu.
Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas kepada Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking, yang sebelum ini menafikan sebarang rundingan dengan Umno Sabah.
Menurut Bernama, sebuah portal berita semalam melaporkan Warisan dan BN Sabah telah membincangkan kompromi bagi menghadapi pilihan raya negeri.
Laporan itu mendakwa kedua-dua parti bersetuju untuk tidak bertanding menentang satu sama lain di 50 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
[Baca berita asal]
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.