Saturday, February 1, 2025

Amanah saman, kita lawan... 'see you in court'

bharian.com.my
Oleh Siti Rohana Idris 
bhnews@bh.com.my
Februari 1, 2025 @ 9:01pm
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. - Foto NSTP/Siti Rohana Idris
KOTA BHARU: Parti Amanah berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan bahawa parti itu dilahirkan daripada DAP untuk memecahbelahkan PAS.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menyifatkan perkara itu sebagai masalah besar dan bersedia untuk 'melawan'.

"Mahkamah terbuka, siapa nak saman, siapa nak kena saman pun boleh tapi kadang-kadang banyak juga kes mahkamah berlaku, dia saman orang, dia kalah dan kena bayar pada orang yang dia saman... jadi kita tiada masalah.

"Dia (AMANAH) saman, kita lawan. Jangan anggap dia saja boleh saman, kita pun boleh kerana semua ada hak dari segi undang-undang. Biar mahkamah tentukan, 'see you in court'," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Media terdahulu melaporkan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menafikan dakwaan Muhammad Sanusi itu dan menegaskan Amanah diasaskan oleh bekas ahli PAS yang menolak hala tuju politik parti berkenaan.

Menurut Mahfuz lagi, terdapat pelbagai dakwaan mengenai asal usul penubuhan Amanah termasuklah ia ditubuhkan oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli sedangkan ia tidak benar.

Terdahulu Takiyuddin hadir menyaksikan majlis tandatangan dokumen perjanjian antara Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al Fateh Kampung Sireh dan Yayasan Nik Yahya, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu secara sinis mempelawa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim untuk menyertai PAS.

Ajakan itu sebagai menggantikan cadangan Mohd Zaid terhadap Khairy Jamaluddin sekiranya bekas Menteri Kesihatan itu ingin muncul semula dalam politik.

Takiyuddin berkata, beliau memohon Mohd Zaid membuat permohonan untuk menyertai PAS namun tidak memberi jaminan tokoh politik itu akan diterima atau tidak.

"Saya persilakan (Mohd) Zaid mohon masuk PAS. Lulus atau tidak, tak tahu lagi. Kita pelawa dia masuk PAS, kenapa dia pelawa KJ? Dia (Mohd Zaid) la kena masuk (PAS)," katanya.

Dalam episod terbaharu audio siarnya, Mohd Zaid juga menggalakkan pemimpin UMNO terpinggir mempertimbang PAS sebagai wadah, sambil menyatakan parti itu mampu menawarkan masa depan politik.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-