Saturday, February 1, 2025

Dakwaan parti dilahirkan DAP, AMANAH akan buat laporan polis terhadap Sanusi

bharian.com.my
Oleh Essa Abu Yamin 
essabuyamin@bh.com.my
Februari 1, 2025 @ 8:11pm
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil (kiri) dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa memfitnah parti itu.

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil, berkata laporan itu susulan ucapan Muhammad Sanusi pada program Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia di Kedah semalam yang mendakwa AMANAH dilahirkan DAP.

"Fitnah itu sudah lama dimainkan dan ia ditiupkan semula semalam yang menunjukkan betapa terdesaknya PAS untuk terus bermain dengan isu sentimen agama dan kaum.

"Justeru, AMANAH melalui Biro Mobilisasi akan menggerakkan laporan polis dibuat di seluruh negara supaya siasatan dibuat terhadap PAS yang semakin ketagih membudayakan politik fitnah dan adu domba yang kesannya sangat bahaya kepada negara.

"Rakyat Malaysia perlu dijamin kehidupan yang sejahtera dengan membuang awal-awal sikap ekstremisme yang sedang dibina PAS hari ini," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Tambah Faiz, beberapa pemimpin PAS acap kali memfitnah DAP ataupun pemimpin mereka dengan bersandar sentimen agama dan kaum bagi membina persepsi kepada umum bahawa DAP parti yang menentang Islam dan Melayu.

"Dalam masa sama, PAS mencanang fitnah terhadap AMANAH dengan dakwaan DAP melahirkan AMANAH.

"Jelas, siri-siri fitnah dibuat PAS adalah satu serangan tersusun untuk melemahkan AMANAH," katanya.

Menurut Faiz, sejak ditubuhkan sembilan tahun lalu, AMANAH berjaya bergerak ke seluruh negara dengan menubuhkan 180 pertubuhan kawasan dan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dalam dua pilihan raya umum (PRU) bersama rakan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan kini Perpaduan.

"AMANAH ditubuhkan untuk meneruskan perjuangan Islam yang kini sudah tergelincir jauh daripada kompas perjuangan PAS.

"Dasar perjuangan Islam jelas termaktub dalam Perlembagaan AMANAH dan prinsip untuk menegakkan rahmat untuk semua kekal menjadi teras perjuangan AMANAH," katanya.

Dalam pada itu, Faiz menegaskan AMANAH tidak ditubuhkan untuk melawan PAS dan penubuhan parti itu adalah bebas daripada pengaruh mana-mana parti termasuk DAP, sepertimana sering didakwa PAS.

"AMANAH ditubuhkan atas desakan bekas ahli PAS dan rakyat sivil yang mahu melihat bahtera perjuangan Islam yang lebih progresif dan bersederhana.

"AMANAH bukan PAS 2.0 dan akan terus berpolitik atas nilai. Atas dasar ini, fitnah dan budaya songsang agama yang dibawa PAS perlu diperbetulkan kerana fitnah yang dibuat atas alasan agama dan kaum boleh membawa kepada sikap ekstrimisme," katanya.

Faiz berkata, perkara itu antara tugas AMANAH untuk menyelamatkan umat Islam dan rakyat Malaysia daripada terus ditipu oleh permainan politik murahan PAS.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-