Monday, February 24, 2025

Bekas KP SPRM sekolahkan Azam - Suntingan video 'rasuah' Sabah adalah bukti

malaysiakini.com
KiniTV
Diterbitkan: Feb 24, 2025 10:00 AM
WAWANCARA | Latheefa Koya menolak alasan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang berkata video berkaitan skandal rasuah Sabah disunting, justeru tidak boleh digunakan sebagai bukti.

Latheefa, yang pernah menerajui suruhanjaya itu berkata dalam episod kedua podcast Straight Talk terbitan Malaysiakini dan KiniTV.

Peguam itu berkata bahawa klip video 'can I advise you something' dalam kes melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor digunakan oleh SPRM sebagai bukti di mahkamah walaupun video itu telah disunting.

"Rakaman audio itu digunakan sebagai bukti di mahkamah. Ia dipotong, bukan audio penuh, dan ia digunakan di mahkamah sebagai bukti," katanya.

Latheefa merujuk kepada rakaman audio dan transkrip mengandungi ayat "can I advise you something?" (Boleh saya beri nasihat kepada kamu mengenai sesuatu) yang diterima sebagai bukti dalam perbicaraan kes Rosmah berkaitan dengan projek hibrid solar.

Rakaman audio itu ditampilkan oleh SPRM sebagai sebahagian daripada perbualan antara Rosmah dan Najib, dimainkan oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes berkenaan.

"Ia banyak menjelaskan apabila video (skandal rasuah Sabah) itu ada. Mengapa tiada siasatan? Video itu sangat jelas, dan ada pengakuan daripada seseorang yang mengatakan, ‘Saya telah memberi (rasuah)’.

"Sekurang-kurangnya, anda mesti menjalankan siasatan. Bagaimana mungkin ada orang yang mengaku semua ini, tetapi tiada siasatan? Apa alasan anda?" soal Latheefa.
Latheefa menegaskan dia tidak bersetuju dengan kenyataan Azam bahawa video disunting tidak boleh dijadikan bukti.

"Untuk mencadangkan bahawa anda tidak boleh menggunakan video itu kerana ia disunting, bolehkah anda bayangkan beratus-ratus video di mana jenayah dilakukan, yang juga disunting? Anda melihat seseorang berlari dengan pisau, dan adakah anda akan berkata, ‘Saya tidak boleh menyiasat kerana itu diedit?’ Anda tidak boleh berbuat demikian.

"Kita tidak bercakap tentang kebolehterimaan bukti di mahkamah, kita bercakap tentang menggunakan apa sahaja yang anda ada untuk memulakan siasatan.

"Kemudian, anda akan memanggil sesiapa yang membuat video itu, orang yang mengaku, dan semua orang yang telah bercakap. Panggil mereka dan tanya apa yang berlaku dalam video ini.

"Kita tidak dapat mendengar semuanya. Bolehkah anda beritahu kami apa yang berlaku? Dan jika mereka mengatakan sesuatu yang bercanggah dengan apa yang anda lihat dalam video, maka anda meminta dokumentasi," katanya dalam program yang dihoskan Dennis Ignatius.

Kerajaan negeri Sabah diheret dalam skandal rasuah sejak akhir tahun lalu, dengan pemberi maklumat menerbitkan video yang membabitkan beberapa Adun dalam dakwaan rasuah berhubung lesen cari gali mineral, termasuk ketua menteri Hajiji Noor.

Ketua menteri itu dan Adun yang terlibat telah menafikan sebarang salah laku dan mendakwa ia adalah konspirasi untuk menggugat kestabilan pentadbiran negeri menjelang pilihan raya.

Azam sebelum ini berkata hanya terdapat sedikit bukti dalam kes tersebut dan video yang ada setakat ini - seperti yang disiarkan oleh Malaysiakini - tidak boleh diguna pakai sebagai bukti.

“Video ini telah kita kemukakan kepada bahagian forensik SPRM.

"Laporannya baru-baru ini menunjukkan lapan video di dalam portal itu adalah video yang tidak boleh diguna pakai kerana berlaku editing serta ia juga tidak boleh digunakan dalam penyiasatan dan juga mahkamah kerana tidak ada kredibiliti," katanya

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-