Februari 24, 2025
Lebih separuh daripada peserta MM2H sejak beberapa bulan kebelakangan ini merupakan rakyat China, selain Taiwan dan Hong Kong.
Rakyat China kini majoriti warga asing yang telah menyertai program visa jangka panjang kerajaan untuk memulakan kehidupan di Malaysia.
Sebilangan besar warga China terus menetap di Malaysia melalui kemudahan visa jangka panjang kerajaan, membangkitkan persoalan mengenai kebanjiran etnik Cina yang bukan warganegara di samping kebimbangan mengenai kesannya terhadap hubungan kaum dan implikasi kepada politik negara.
Akhbar Singapura The Straits Times, memetik angka rasmi kerajaan Malaysia, berkata seramai 26,162 rakyat China dari Tanah Besar telah menetap di Malaysia selepas menerima visa jangka panjang di bawah program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H).
Laporan itu berkata setakat Disember 2024, 45% daripada 57,686 peserta MM2H adalah rakyat China, kebanyakannya menetap untuk tujuan persaraan, pendidikan dan pelaburan.
Ia berkata warga China kini membentuk bahagian terbesar pemohon MM2H berbanding negara lain.
Dalam tempoh empat bulan antara September tahun lepas dan Januari 2025, 53% daripada sejumlah 2,195 pemohon MM2H adalah dari China, diikuti warga Taiwan (8%) dan Hong Kong (6%).
Mereka membawa masuk sejumlah RM675 juta yang disimpan dalam akaun simpanan tetap di bank tempatan, serta membeli hartanah bernilai RM681 juta dalam tempoh tersebut.
Menurut The Straits Times, ramai warga China tertarik ke Malaysia kerana harga rumah yang lebih murah, di samping untuk mencari kebebasan jauh daripada tekanan hidup seharian di negara asal mereka.
Perkembangan itu di tengah-tengah rasa kurang senang terhadap kempen agresif pentadbiran semaca untuk menarik berjuta-juta pelancong dari China dengan menawarkan pengecualian visa 30 hari kepada pengunjung dari Tanah Besar sehingga akhir 2026.
Malaysia merupakan antara negara yang menerima paling ramai pelancong China.
Tahun lepas, akhbar The Financial Times melaporkan trend kebanjiran warga China ke Malaysia, dan menganggarkan bilangan mereka yang menetap di negara ini meningkat dua kali ganda dalam tempoh tiga tahun sebelumnya, daripada 82,000 pada 2022, kepada 150,000 hingga 200,000.
MM2H, yang menggalakkan warga asing membawa masuk dana simpanan mereka ke negara ini sebagai syarat mendapatkan visa jangka panjang, dipenuhi dengan kontroversi selepas pentadbiran Anwar Ibrahim meletakan skim tersebut di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, yang diterajui Tiong King Sing, menteri yang dikritik kerana tumpuannya yang bukan sahaja untuk menarik warga China tetapi juga mempromosikan China.
Di bawah MM2H, rakyat asing membawa bersama deposit tetap sebanyak RM5 juta, di mana mereka boleh tinggal sehingga 20 tahun termasuk diberikan permit kerja.
Pakar bagaimanapun berpandangan penghijrahan beramai-ramai warga China ke Malaysia membawa cabaran tersendiri, termasuk implikasi pada sektor hartanah dan pemilikan rumah, di mana pemaju lebih berminat membina hartanah mewah berbanding rumah mampu milik yang dicari rakyat tempatan, di samping perubahan demografi dan kesan domino lain.
Pengkritik turut mengingatkan Putrajaya supaya mengambil iktibar daripada negara jiran, khususnya Singapura, Thailand dan Vietnam, yang bergelut dengan kebanjiran pendatang China dan isu penyerapan budaya yang datang bersamanya.
Antara yang lantang mempersoalkan dasar kerajaan menarik rakyat China ialah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang tahun lalu melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan mendadak bilangan warga China yang menetap di Malaysia.
Beliau berkata berkata pendatang dari tanah besar China lebih sukar dikesan oleh pihak berkuasa disebabkan kehadiran kaum Cina warganegara Malaysia, menjadikan mereka "mudah hilang".
Katanya ini berbeza dengan penghijrahan bangsa lain yang lebih mudah dikenal pasti di kalangan masyarakat Malaysia.
"Itulah yang menyebabkan jumlah mereka banyak, kerana kita tidak boleh kenal pasti warganegara asal dengan orang pendatang," katanya dalam wawancara bersama MalaysiaNow tahun lepas.
Walaupun Malaysia tidak menerbitkan statistik rasmi mengenai penghijrahan baru, The Financial Times menganggarkan bilangan warga China yang menetap di negara ini telah meningkat daripada sekitar 82,000 pada 2022 kepada 200,000 pada tahun lepas, bersandarkan statistik kerajaan dan sumber lain.
Bilangan pemilik perniagaan, pengurus dan pekerja dalam syarikat China pula meningkat empat kali ganda, daripada 10,000 pada 2021 kepada 45,000.
Kehadiran warga China lebih ketara dalam sektor pendidikan, di mana tahun 2023 mencatatkan peningkatan 35% dalam pendaftaran pelajar China di universiti berbanding 2021, manakala kaji selidik akhbar FT mendapati bilangan pelajar China di sekolah antarabanga meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh dua tahun yang lalu.
Pulau Pinang jadi lubuk China
Dalam laporannya semalam, The Straits Times berkata kesan penghijrahan rakyat China paling dirasai di Pulau Pinang.
Seorang ejen hartanah berkata 80% pelanggannya tahun ini merupakan rakyat China, berbanding apabila dia memulakan karier pada 2013 tanpa pelanggan.
Malah kebanjiran rakyat China memaksa sekolah antarabangsa di Pulau Pinang mengenakan had 20% pelajar China dalam setiap kelas dalam usaha mengekalkan kepelbagaian kaum.
"Adalah sukar untuk memupuk persekitaran untuk bertutur bahasa Inggeris sekiranya lebih separuh pelajar berasal dari China," kata seorang lagi ejen hartanah yang membantu seorang warga China memulakan kehidupan di sini.
Sementara itu, sebuah kawasan kejiranan berhampiran Universiti Sains Malaysia menyaksikan bilangan restoran dari tanah besar China meningkat daripada dua kepada 10 dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kata seorang penggiat filem.
Tang Siang Ching berkata walaupun ia bermakna lebih banyak pilihan makanan, wujud kebimbangan sama ada trend itu mampu kekal.
"Apakah yang akan berlaku kepada restoran-restoran ini apabila pelajar China tidak lagi datang? Apakah rancangan seterusnya?" katanya dipetik The Straits Times.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.