February 10, 2025
Kerajaan Madani 'pak turut' kartel?
KUANTAN: Penutupan kilang padi Bumiputera terbesar, Dibuk Sdn Bhd di Perlis membuktikan betapa dasar kerajaan pemerintah hari ini gagal dalam melindungi kepentingan industri padi dan beras tempatan.
“Lebih membimbangkan, satu fenomena pelik sedang berlaku di negara kita. Walaupun pengeluaran padi oleh petani masih konsisten, tetapi beras tempatan seolah-olah ‘menghilang’ dari pasaran.
“Ke manakah perginya beras tempatan kita? Mengapa rakyat semakin sukar mendapatkan beras tempatan di pasaran? Adakah ini satu bentuk manipulasi terancang untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda?
“Mengapakah beras tempatan hanya akan muncul ketika Pilihan Raya Kecil?” kata beliau menerusi satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, nasib industri kilang padi Bumiputera semakin merosot dengan jumlah kilang yang beroperasi berkurangan secara drastik daripada 127 pada 1998 kepada hanya sembilan pada hari ini.
“Kita sedang menyaksikan satu bentuk ‘pembunuhan ekonomi’ yang sistematik terhadap pengusaha Bumiputera. Bukankah ini satu pengkhianatan terhadap agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang sering dilaung-laungkan?
“Hakikatnya, kerajaan hari ini telah menjadi ‘pak turut’ kepada kartel beras yang menguasai pasaran. Selama 16 tahun, harga beras putih tempatan ‘dibekukan’ tanpa kajian semula, sedangkan kos operasi melambung tinggi.
“Dalam masa yang sama, harga beras import dibiarkan terapung sesuka hati sehingga memberi ruang kepada pihak tertentu untuk mengaut keuntungan berlipat ganda,” katanya.
Justeru, PAS Pahang menuntut kerajaan memberikan jawapan segera terhadap tiga persoalan utama.
“Mengapa kerajaan membiarkan monopoli kartel beras bermaharajalela sedangkan rakyat dan pengusaha tempatan terus menderita? Bilakah kerajaan akan mengkaji semula dasar kawalan harga yang jelas membunuh industri tempatan?
“Apakah nasib ribuan petani dan pekerja kilang yang kehilangan pendapatan akibat kegagalan dasar kerajaan?” persoalnya.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak terus terpedaya dengan slogan ‘Ekonomi Madani’ yang hanya memberi manfaat kepada pihak tertentu, sementara golongan pengusaha kecil terus ditindas.
“Jangan terus tertipu dengan slogan kosong kerajaan hari ini,” katanya.
– HARAKAHDAILY 10/2/2025
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.