Februari 7, 2025 @ 8:44am
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/strap-minda_1738889727.jpg)
Satu daripada enam nilai teras Malaysia MADANI adalah Hormat, merujuk kepada 'perilaku budi bahasa kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan pandangan dunia'.
Teras murni ini pasti menjadi rujukan, pedoman dan panduan kerajaan serta agensinya bagi mewujudkan satu tatakelola kerja atau peraturan baharu hendak diwujudkan.
Atas faktor ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mewujudkan garis panduan bagaimana adab dan larangan bagi orang Islam menyambut perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mohktar menjelaskan, cadangan garis panduan itu masih dalam proses libat urus bersama pihak berautoriti, sekali gus tidak wajar menjadi isu politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menegaskan Kabinet akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Sedangkan sasaran JAKIM mewujudkan garis panduan ini adalah khusus untuk orang Islam dan tidak membabitkan bukan Islam.
Sudah pasti JAKIM melihat kepentingan garis panduan ini mengikut Perkara 3 Perlembagaan yang menegaskan Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman di mana-mana bahagian Persekutuan.
Perkara 11 pula menyatakan: 'Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya serta tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya'. Kebebasan ini membentuk perpaduan kukuh antara kaum dan dibuktikan dengan keamanan dikecapi rakyat selama ini.
Justeru, sepatutnya tidak timbul rasa prejudis komuniti bukan Islam apabila JAKIM hendak mewujudkan garis panduan mengenai kehadiran umat Islam dalam majlis atau acara membabitkan bukan Islam.
Dalam Islam, ada peraturan tertentu mengenai jenis pergaulan dibenarkan, terutama dalam konteks agama dan kepercayaan. Garis panduan itu bertujuan membantu umat Islam terutama pemimpin berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam serta cara menghormati prinsip agama mereka, tanpa melanggar batasan syariat.
Garis panduan ini juga memberi panduan bagaimana umat Islam boleh berinteraksi dengan bukan Islam dengan cara sopan dan beradab, tanpa menyinggung perasaan atau menyebabkan konflik untuk menjaga keharmonian masyarakat pelbagai agama dan budaya.
Ini kerana sesetengah acara mungkin mengandungi unsur bertentangan syariat Islam, maka garis panduan ini membantu umat Islam membuat keputusan bijak memilih jenis majlis atau acara patut dihadiri serta mana perlu dielakkan.
Jelas di sini, prejudis yang berbangkit adalah disebabkan kekeliruan sesetengah pihak mengenai prinsip 'boleh dan tidak boleh' umat Islam boleh terbabit dalam sesuatu acara atau majlis bukan Islam.
Prinsip asas garis panduan itu adalah untuk melindungi umat Islam daripada pengaruh yang boleh mengganggu kehidupan beragama mereka, bukan menyekat kebebasan perhubungan antara kaum.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.