February 24, 2025
KUALA LUMPUR: Satu himpunan ‘Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat’ akan diadakan pada 27 Februari ini sebagai tanda solidariti kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu Titah Adendum.
“Kita di peringkat jawatankuasa penganjur telah menyediakan segala kemudahan yang diperlukan dalam himpunan itu, juga dengan kerjasama di peringkat Kerajaan Negeri Pahang.
“Pihak penganjur dengan ini menjemput secara rasminya dan terbuka kepada seluruh pimpinan-pimpinan di negeri Pahang dan juga di luar negeri Pahang, sama ada pimpinan politik, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), masyarakat dan seluruh rakyat untuk sama-sama kita berkumpul,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali dan Presiden Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama’, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani.
Juga Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman dan Exco Sekretariat Anak Pahang Perantauan, Fadzil Che Lah.
Tambah beliau, himpunan berkenaan turut mendapat komitmen yang tinggi daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen di peringkat negeri Pahang.
“Kita juga menerima permintaan daripada pimpinan-pimpinan luar daripada Pahang khususnya di Kuala Lumpur ini untuk hadir dan kita telah membuat keputusan bahawa kita mengalu-alukan semua pihak dan pimpinan untuk hadir.
“Ini suatu tanda yang sangat baik kepada seluruh rakyat khususnya di negeri Pahang kerana pemimpin politik, NGO dan masyarakat telah bersatu padu dalam kita menumpahkan taat setia kepada Tuanku Sultan,” katanya.
Himpunan itu dijadual akan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, bacaan Yasin, munajat, solat Isyak berjemaah di Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan bermula jam 7 malam dan akan dihadiri oleh Sultan Pahang sebelum bergerak ke Padang Majlis Bandaraya Kuantan.
– HARAKAHDAILY 24/2/2025
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.